Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Usul tidak dipertandingkan jawatan Presiden, Timbalan boleh dirujuk ke Jabatan Pendaftaran Pertubuhan M'sia

Ahli UMNO yang tidak berpuas hati dengan keputusan Perhimpunan Agung UMNO 2022 meluluskan usul supaya jawatan Presiden dan Timbalan presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan tahun ini boleh merujuk perkara itu kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).

Anggaran Waktu Membaca:
Usul tidak dipertandingkan jawatan Presiden, Timbalan boleh dirujuk ke Jabatan Pendaftaran Pertubuhan M'sia

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 14 Jan 2023 11:21PM Dikemas Kini : 14 Jan 2023 11:33PM

KUALA LUMPUR: Ahli UMNO yang tidak berpuas hati dengan keputusan Perhimpunan Agung UMNO 2022 meluluskan usul supaya jawatan Presiden dan Timbalan presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan tahun ini boleh merujuk perkara itu kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).

Naib Presiden UMNO Ismail Sabri Yaakob berkata mana-mana ahli yang mempunyai kepentingan terhadap parti boleh merujuk kepada RoS sekiranya ingin mengetahui sama ada keputusan yang dibuat perwakilan hari ini sah atau tidak.

Mantan Perdana Menteri itu berkata terdapat dua pandangan berbeza mengenai perkara berkenaan iaitu Perhimpunan Agung UMNO boleh membuat keputusan terhadap sesuatu usul yang dibawa kerana ia dibenarkan  oleh pengerusi perhimpunan.

"Ada juga pandangan menyatakan perhimpunan ini walaupun ia satu yang tertinggi dalam parti, boleh buat keputusan tapi UMNO tertakluk kepada Perlembagaan parti  yang menyatakan daripada segi jawatan hendaklah dibuat secara pemilihan tiga tahun sekali atau selepas ditangguhkan," katanya pada sidang media selepas penangguhan Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada Sabtu (14 Jan). 

Selain itu, Encik Ismail Sabri berkata menurut Perlembagaan UMNO, mana-mana Bahagian yang ingin membawa sesuatu usul hendaklah menyerahkan notis dalam masa 14 hari, manakala tujuh hari sekiranya dibawa oleh Ahli Majlis Tertinggi.

Beliau berkata sebaliknya usul tambahan agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dicabar hanya dikemukakan semalam selepas ucapan dasar Presiden Ahmad Zahid Hamidi. 

Ditanya jika keputusan hari ini meyakinkan rakyat terhadap UMNO terutama menjelang enam Pilihan Raya Negeri (PRN), Encik Ismail Sabri berkata ia sebenarnya membimbangkan terutama dalam usaha menarik golongan muda.

"Dalam perbahasan kita cakap soal nak balikkan kepercayaan orang muda kerana mereka bercakap mengenai demokrasi, hak asasi dan idealisme, tapi ini (tidak mempertandingkan dua jawatan) akan mengurangkan kepercayaan serta keterbukaan mereka menyertai kita, menjauhkan lagi mereka daripada kita (UMNO)," katanya. 

Terdahulu, majoriti perwakilan yang hadir pada perhimpunan itu menyatakan sokongan terhadap usul tambahan dicadangkan perwakilan dari Negeri Sembilan Mohd Shukri Samsudin, semalam agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan dalam pemilihan UMNO akan datang.

Sementara itu, Encik Ahmad Zahid dalam sidang media berlainan menyatakan usul itu sah mengikut perkara serta fasal dalam perlembagaan parti dan muktamad.

Sumber : Bernama/SU/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan