Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Ustaz PAS pertahan komen tidak sensitif terhadap kumpulan Seventeen

Seorang penceramah dari Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mempertahankan komen-komennya terhadap kumpulan pop Indonesia Seventeen yang ditimpa musibah semasa mengadakan konsert pada Sabtu (22 Dis).

Anggaran Waktu Membaca:
Ustaz PAS pertahan komen tidak sensitif terhadap kumpulan Seventeen

Penyokong kibar bendera PAS di Kota Bharu. (Gambar: Fadza Ishak)

Diterbitkan : 26 Dec 2018 11:10PM Dikemas Kini : 26 Dec 2018 11:14PM

KUALA LUMPUR: Seorang penceramah dari Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mempertahankan komen-komennya terhadap kumpulan pop Indonesia Seventeen yang ditimpa musibah semasa mengadakan konsert pada Sabtu (22 Dis).

Komen-komen Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani dikritik ramai yang mendakwa bahawa beliau tidak bersikap sensitif. Namun, Ustaz Ahmad Dusuki kemudian menegaskan bahawa beliau hanya ingin mengingatkan orang ramai supaya tidak terjebak dalam kegiatan-kegiatan tidak bermoral.

Apabila dihubungi Malay Mail pada Selasa (25 Dis), Ustaz Ahmad Dusuki mengatakan bahawa beliau tidak melihat sebarang kesilapan pada kenyataan yang dikongsi di media sosial.

"Apa yang saya ingin katakan adalah, jangan terlibat dalam kegiatan maksiat. Apabila anda melakukan maksiat (dosa), ia membuat Allah murka."

Apabila ditanya sekiranya apa yang dimaksudkan adalah tsunami yang melanda pada hujung minggu lalu disebabkan kegiatan-kegiatan maksiat, Ustaz Ahmad Basuki menjawab: "Tidak".

"Apabila anda terlibat dalam kegiatan maksiat, tiba-tiba Allah mencabut nyawa anda. Ia satu peringatan bagi kita semua supaya tidak terlibat dalam kegiatan maksiat," katanya kepada Malay Mail.

DIKRITIK HEBAT NETIZEN

Menerusi satu catatan Instagram pada Isnin (24 Dis), timbalan ketua sayap ulama PAS di Selangor mengongsi satu video pertunjukan kumpulan Seventeen sebelum pentas tiba-tiba runtuh selepas tsunami melanda.

Beliau menulis: "Bayangkan tiba-tiba nyawa anda dicabut... seperti apa yang berlaku kepada kumpulan rok Seventeen yang membuat persembahan pada malam tsunami berlaku."

"Jangan lakukan maksiat, ia hanya akan membuat anda menderita," tambah beliau.

Beliau juga menyenaraikan butiran tiga akaun bank, bagi mengumpul derma untuk sekolah agamanya.

Video dimuat naik oleh Ustaz Ahmad Basuki ditonton lebih 56,000 kali dan mengundang lebih 2,500 komen.

"Ini bukan saatnya untuk memalukan korban (tsunami) dan keluarga mereka! Tunjukkan rasa empati kepada jiran kita! Adakah itu susah untuk anda?!" tulis seorang pengguna Instagram, msyafiqizwan.

"Sebagai seorang warga Indonesia, saya rasa tersinggung dengan kapsyen anda. Semua yang berada di sini sedang berduka kerana kehilangan orang tercinta. Jika anda tidak tahu apa-apa, lebih baik anda diam!" tambah seorang lagi pengguna Instagram, desitaa13.

Tiga anggota kumpulan pop tersebut terkorban apabila tsunami membadai pentas di mana mereka sedang mengadakan konsert terbuka.

Dylan Sahara, seorang pelakon dan juga isteri kepada Riefan Fajarsyah, vokalis Seventeen, juga terkorban dalam bencana itu.

Pada Rabu, pihak berkuasa Indonesia memberi amaran tentang "cuaca buruk dan ombak besar" di sekitar gunung Anak Krakatau, sambil menggesa orang ramai supaya tidak mendekati kawasan pantai. Lebih 400 orang terkorban akibat tsunami itu.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan