Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Ustaz, 3 warden pusat pemulihan dadah di Kuala Kangsar dipercayai bunuh penghuni

Anggaran Waktu Membaca:

KUALA KANGSAR: Polis mengklasifikasikan kematian seorang penghuni pusat pemulihan dadah di Padang Rengas pada Khamis (18 Ogos), yang pada mulanya dikatakan mengamuk di pusat pemulihan itu, kepada kes bunuh.

Demikian menurut laporan Harian Metro. 

Pemangku Ketua Polis Perak, Azizi Mat Aris, berkata susulan itu seorang lelaki bergelar 'ustaz' serta tiga warden pusat pemulihan itu kini ditahan.

Beliau berkata, maklumat awal kejadian diterima daripada doktor bertugas di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Kuala Kangsar memaklumkan mangsa yang sudah tidak bernyawa dibawa ke hospital berkenaan oleh tiga suspek berkenaan.

Menurutnya, mangsa yang identitinya disahkan sebagai Muhammad Shahrul Samion, berusia 25 tahun dan berasal dari Shah Alam, Selangor dibawa ke hospital selepas didakwa mula tidak sedarkan diri sejak pukul 7.00 malam hari yang sama.

Katanya, hasil temu bual dengan pengasas dan warden pusat pemulihan itu mendapati mangsa pada mulanya cuba melarikan diri dari pusat berkenaan kira-kira pukul 1.45 tengah hari Khamis (18 Ogos) sebelum bertindak mengamuk serta mencederakan seorang daripada warden pusat itu menggunakan pisau.

"Ketika mengamuk mangsa bergelut dengan warden yang sempat beberapa kali menumbuk bahagian badannya, sebelum mangsa sekali lagi dikatakan cuba melarikan diri kira-kira tiga jam kemudian.

"Mangsa cuba sekali lagi melarikan diri dengan terjun dari tingkat satu bangunan. Selepas berjaya ditangkap semula, kaki serta tangan mangsa dikatakan diikat dengan kain untuk mengelakkannya daripada kembali mengamuk dan melarikan diri dengan dia ditempatkan di dalam bilik tetamu.

"Ketika itu mangsa didakwa beberapa kali menghentak kepalanya ke lantai dan dinding sehingga luka berdarah namun kira-kira 7.45 malam, warden mendapati mangsa tidak sedarkan diri semasa ditempatkan di bilik tetamu lalu terus membawa mangsa ke hospital," katanya dalam kenyataan pada Jumaat (19 Ogos). 

Encik Azizi berkata, ujian X-ray yang dilakukan sejurus mangsa dibawa ke hospital pada Khamis malam (18 Ogos) mendapati terdapat kesan luka di bahagian dahi serta kesan lebam pada muka, mata kiri, dada, kedua-dua kaki, serta tangan mangsa.

Bagaimanapun katanya, hasil bedah siasat oleh Pakar Perubatan Forensik di Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar yang selesai dijalankan pukul 2.45 petang Jumaat (19 Ogos) mendapati mangsa akibat parah pada bahagian dada serta pelbagai otot dan tisu badan disebabkan trauma tumpul.

"Susulan itu keempat-empat suspek kini ditahan dengan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya, seperti dinukil Harian Metro. 

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan