Usia, isu kesihatan tidak jadi penghalang warga emas raih PhD
Impian seorang warga emas untuk menerima ijazah daripada tangan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail tercapai apabila beliau menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD) pada upacara Konvokesyen ke-57 Universiti Sains Malaysia (USM) di George Town, Pulau Pinang.
Ahmad Bakri Abdul Ghaffar, 77, menerima ijazah PhD (Gambar: BERNAMA)
GEORGE TOWN: Impian seorang warga emas untuk menerima ijazah daripada tangan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail tercapai apabila beliau menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD) pada upacara Konvokesyen ke-57 Universiti Sains Malaysia (USM) di George Town, Pulau Pinang.
Encik Ahmad Bakri Abdul Ghaffar, 77, berkata beliau berasa amat bertuah dan sebak kerana Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, yang juga Canselor USM, menganugerahkan ijazah tersebut kepadanya.
Beliau berkata, sejak memulakan perjalanan di USM bagi Ijazah Sarjana Muda pada tahun 80-an, beliau mengimpikan untuk dianugerahkan ijazah oleh Raja Perlis namun tidak tercapai.
Encik Ahmad Bakri berkata beliau melalui banyak cabaran sepanjang sembilan tahun menyiapkan pengajian PhD secara separuh masa dan berpesan kepada anak muda untuk terus mengejar ilmu sementara masih muda.
“Saya sudah melalui bypass, pembedahan buah pinggang, mata pun sudah dibedah untuk buang selaput. Pernah di satu masa, tiba-tiba saya tidak boleh bangun. Setelah dibawa ke hospital dan dibedah di bahagian kepala, saya boleh bergerak kembali.
“Macam-macam lagi penyakit yang saya hidap sepanjang perjalanan menyempurnakan PhD ini,” katanya kepada pemberita selepas upacara konvokesyen itu.
Beliau kini pemegang PhD dalam bidang kejuruteraan pengkhususan kejuruteraan sungai setelah menamatkan Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana dalam Kejuruteraan Awam di universiti yang sama.
Bekas pendidik yang pernah berkhidmat sebagai guru, guru besar dan seorang pensyarah di Politeknik Ungku Omar itu berkata beliau menyambut tuntutan ‘mencari ilmu ke liang lahad’ kerana beliau percaya tiada batasan dalam menuntut ilmu.
“Walaupun saya sudah tua, saya memang memandu sendiri dari Ipoh ke USM di Pulau Pinang… Kerana saya menetap di Ipoh atas urusan kerja manakala keluarga menetap di Kuala Lumpur,” katanya.
Beliau yang kini bekerja sendiri bersama sahabatnya dalam bidang kejuruteraan sungai berkata beliau akan menggunakan kepakaran dan ilmu yang sedia ada dalam menambah baik sistem saliran sungai untuk mengelakkan banjir kilat yang sering berlaku di dalam negara.
Bapa kepada tiga orang anak itu berkata pada awal permulaannya untuk mengejar impian, beliau mendapat tentangan daripada keluarganya yang bimbang akan kesihatan dirinya. Namun kini, beliau berbangga kerana dapat berkongsi ilmu dan kepakarannya setelah berjaya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.