Skip to main content

Dunia

Usahawan SG diberkas di Johor Bahru selepas 19 tahun dalam buruan

Selepas hampir dua dekad dalam pelarian, usahawan dari Singapura Ng Teck Lee yang terlibat dalam kes penyelewengan dana bernilai S$72 juta, akhirnya ditahan bersama isterinya, Thor Chwee Hwa, di Johor Bahru pada Selasa (3 Dis).

Anggaran Waktu Membaca:
Usahawan SG diberkas di Johor Bahru selepas 19 tahun dalam buruan

(Gambar: CPIB)

Diterbitkan : 04 Dec 2024 12:39PM Dikemas Kini : 04 Dec 2024 07:29PM
KUALA LUMPUR: Selepas hampir dua dekad dalam pelarian, usahawan dari Singapura Ng Teck Lee yang terlibat dalam kes penyelewengan dana bernilai S$72 juta, akhirnya ditahan bersama isterinya, Thor Chwee Hwa, di Johor Bahru pada Selasa (3 Dis).

Menurut laporan, pasangan tersebut telah melarikan diri sejak 2005 selepas Ng, yang merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di syarikat kitar semula Citiraya Industries yang kini telah gulung tikar, didakwa menyalahgunakan dana sebanyak AS$51 juta (S$68.6 juta).

Citiraya Industries yang terbabit dalam perniagaan kitar semula sisa elektronik untuk mendapatkan logam berharga, mempunyai pelanggan besar seperti AMD, Intel, dan Infineon.

Namun, Ng didakwa menyalahgunakan bahan buangan elektronik tersebut dengan menjualnya kepada sindiket di Taiwan dan Hong Kong, bukan memprosesnya seperti yang sepatutnya.

Siasatan mendapati Ng bersama Ketua Pegawai Kewangan syarikat dan beberapa kakitangan lain telah berkomplot dalam penjualan 62 penghantaran (sekitar 89 tan) sisa elektronik antara tahun 2003 hingga 2004.

Ng dan isterinya melarikan diri dari Singapura pada tahun 2005 apabila Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) mula menyiasat kes tersebut.

Walaupun pihak berkuasa telah mengeluarkan notis tangkap antarabangsa dan Interpol Red Notices, mereka berjaya mengelak daripada ditangkap selama hampir 20 tahun.

Bagaimanapun, akhirnya mereka ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Johor Bahru dan diserahkan kepada CPIB.

Ng didakwa atas kesalahan pecah amanah jenayah, manakala isterinya menghadapi tuduhan di bawah Akta Rasuah, Pengedaran Dadah dan Jenayah Berat Lain.

CPIB turut menyita aset pasangan itu bernilai hampir S$23 juta, termasuk akaun bank dan hartanah yang didaftarkan atas nama mereka berdua.

Pengarah Siasatan CPIB, Vincent Lim, berterima kasih kepada SPRM atas kerjasama mereka dalam penangkapan ini.

Beliau menegaskan bahawa tidak ada toleransi dan tiada tempat selamat bagi mereka yang melanggar undang-undang dengan terlibat dalam kegiatan rasuah atau jenayah.

"Tidak ada tempat perlindungan bagi mereka yang memilih untuk melanggar undang-undang kami dengan terlibat dalam kegiatan jenayah," kata Lim.
Sumber : Agensi berita/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita