Usahawan, peniaga Johor digesa tingkat kemahiran, rebut peluang JS-SEZ
Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi ketika berucap di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di Johor Bahru pada Sabtu (25 Okt).
(Gambar: BERNAMA)
Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi berkata usaha meningkatkan kemahiran dan menyesuaikan kemahiran baharu amat penting bagi memastikan rakyat Johor mampu bersaing pada peringkat global serta seiring pembangunan negara maju.
“Melalui peluang diwujudkan oleh JS-SEZ, akan ada banyak pekerjaan dan peluang untuk usahawan. Kawasan JS-SEZ, yang meliputi keluasan 3,500 kilometer persegi, akan menumpukan kepada pelbagai sektor termasuk pembuatan, logistik, runcit serta pelancongan.
“Banyak jenama besar akan berada di Johor dan usahawan tempatan berpotensi untuk maju melalui JS-SEZ dengan pelbagai peluang serta insentif ditawarkan menerusi Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA),” katanya.
Encik Onn Hafiz berkata demikian ketika berucap di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di Johor Bahru pada Sabtu (25 Okt).
Beliau berkata usahawan perlu memainkan peranan aktif bagi memperkukuh keupayaan serta daya saing masing-masing walaupun kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan dan insentif.
Mengulas lanjut, Encik Onn Hafiz berkata kerajaan negeri hanya mahu menampilkan usahawan dan peniaga benar-benar berdaya saing serta mempunyai mutu perkhidmatan bertaraf tinggi bagi memastikan keyakinan pelabur asing dapat dikekalkan.
“Kita tidak mahu menawarkan pelabur usahawan yang berada bawah tahap standard atau sekadar biasa-biasa. Jika mereka tidak bersedia, pelabur mungkin berurusan sekali sahaja dan akhirnya mengadu kepada kerajaan negeri bahawa usahawan Johor tidak berada pada tahap sepatutnya.
“Ini cabaran besar perlu kita tangani. Tiada istilah makan percuma. Seperti saya perlu memperkukuh kepimpinan, usahawan juga mesti berusaha meningkatkan kemampuan dan kualiti perkhidmatan mereka,” katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.