Usahawan India, Ratan Tata meninggal dunia pada usia 86 tahun
Tokoh korporat ternama India, Ratan Tata menghembuskan nafas terakhir pada usia 86 tahun pada Khamis malam (9 Okt), kata Kumpulan Tata, konglomerat yang dipimpinnya selama lebih dua dekad.

(Gambar: Getty Images)
Mendiang, yang menerajui Kumpulan Tata sebagai Pengerusi selama 20 tahun, telah menjalani rawatan intensif di sebuah hospital di Mumbai.
Mendiang Tata, antara pemimpin perniagaan India yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, berkhidmat sebagai pengerusi Kumpulan Tata dari 1991 hingga 2012.
Kumpulan Tata ialah salah satu syarikat terbesar di India, dengan pendapatan tahunan melebihi AS$100 bilion (S$130.7 bilion).
Mengumumkan berita sedih itu, Pengerusi Kumpulan Tata, Natarajan Chandrasekaran, menyifatkan mendiang sebagai 'pemimpin yang benar-benar luar biasa'.
"Bagi pihak seluruh keluarga Tata, saya mengucapkan takziah kepada orang yang tersayang. Legasinya akan terus memberi inspirasi kepada kami ketika kami berusaha untuk menegakkan prinsip yang beliau perjuangkan dengan penuh semangat," katanya.
Semasa memegang jawatan sebagai Pengerusi Kumpulan Tata, konglomerat itu membuat beberapa pengambilalihan berprofil tinggi, termasuk pengambilalihan pembuat keluli Inggeris-Belanda Corus, jenama kereta Jaguar dan Land Rover yang berpangkalan di United Kingdom dan Tetley, syarikat teh kedua terbesar di dunia.
Profil yang diterbitkan dalam majalah Economist pada 2011 menggelar Tata sebagai 'titan' atau gergasi dan memujinya kerana mengubah syarikat keluarga menjadi 'kuasa global'.
Perdana Menteri India, Narendra Modi memuji Tata sebagai 'pemimpin perniagaan yang berwawasan, berjiwa penyayang dan manusia yang luar biasa'.
Dalam satu catatan di X, Encik Modi memberi penghormatan kepada mendiang Tata dengan mengimbas kembali pengalaman berkongsi 'banyak interaksi' dengan mendiang selain sangat bersedih dengan kematiannya.
Mendiang dilahirkan dalam sebuah keluarga tradisional Parsi pada 1937 dan melanjutkan pengajian dalam bidang seni bina serta kejuruteraan struktur di Universiti Cornell, Amerika Syarikat (AS).
Pada 1962, beliau menyertai Tata Industries - syarikat pemangkin bagi kumpulan tersebut - sebagai pembantu dan menghabiskan enam bulan menjalani latihan di kilang syarikat di Jamshedpur.
Dari situ, beliau meneruskan kerjayanya di Tata Iron and Steel Company (kini dikenali sebagai Tata Steel), Tata Consultancy Services (TCS), dan National Radio and Electronics (Nelco).
Pada 1991, JRD Tata, yang telah menerajui kumpulan itu selama lebih setengah abad, melantik Ratan Tata sebagai penggantinya.
"Beliau [JRD Tata] adalah mentor terhebat saya... dia seperti bapa dan abang kepada saya - terlalu banyak untuk saya katakan mengenainya," katanya dalam satu wawancara.
Di bawah mendiang, syarikat itu berkembang menjadi sebuah empayar antarabangsa dengan portfolio yang merangkumi dari perisian hingga kereta sukan.
Beliau mengambil alih empayar keluarganya pada tahun 1991, ketika India baru sahaja melaksanakan pembaharuan pasaran bebas yang radikal.
Selama 21 tahun di bawah pimpinannya, konglomerat garam-ke-besi ini mengembangkan jejak globalnya termasuk jenama mewah British seperti Jaguar dan Land Rover.
Pada 2008, pemerintah India menganugerahkannya Padma Vibhushan iaitu penghormatan awam kedua tertinggi di negara itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.