Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Usaha selesai masalah rakyat melalui konsep M'sia Madani - Menteri Komunikasi & Digital M'sia

Konsep Malaysia Madani bukan slogan semata-mata, tetapi akan diterjemahkan melalui segala usaha kerajaan dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat, selain menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih baik, kata Menteri Komunikasi dan Digital Malaysia Fahmi Fadzil.

Anggaran Waktu Membaca:

KUALA LUMPUR: Konsep Malaysia Madani bukan slogan semata-mata, tetapi akan diterjemahkan melalui segala usaha kerajaan dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat, selain menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih baik, kata Menteri Komunikasi dan Digital Malaysia Fahmi Fadzil.

Beliau berkata konsep itu akan dijadikan sebagai panduan kepada semua menteri dan kementerian untuk mencapai indeks prestasi utama (KPI) masing-masing, yang ditetapkan.

Menurutnya, soal KPI bukan terletak kepada pencapaian jumlah program yang dilaksanakan oleh setiap kementerian sebaliknya dinilai dengan kepuasan rakyat terhadap perkhidmatan atau kualiti program dalam membantu masalah yang dihadapi.

“Rakyat tidak kisah sangat tentang slogan (Malaysia Madani), tetapi soal kos sara hidup, harga barang dan akses internet... oleh itu, penting kepada setiap menteri dan kementerian segera melaksanakan ikhtiar dan menguruskan isu-isu rakyat.

"Konsep Madani ini beri fokus kepada usaha yang lebih baik (bantu rakyat) dan tambah baik mutu perkhidmatan kepada rakyat,” katanya ketika menjadi tetamu dalam program Ruang Bicara yang membincangkan  tajuk “2023: Malaysia Madani Memperkasa Digital” terbitan Bernama TV yang disiarkan secara langsung pada Selasa malam (24 Jan).

Pada 19 Januari lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim memperkenalkan “Malaysia Madani” sebagai usaha mengemudi serta mengangkat semula martabat dan kegemilangan negara di persada dunia berteraskan enam rukun iaitu keMampanan, kesejAhteraan, Daya cipta, hormAt, keyakiNan dan Ihsan.

Mengenai KPI Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD),Encik Fahmi berkata masalah akses internet dan telekomunikasi yang dihadapi rakyat adalah KPI utama yang akan diberi perhatian dan diselesaikan.

Katanya, KKD telah mengumumkan pengurangan harga Internet prabayar mudah alih (Pakej Perpaduan Prabayar Internet Mudah Alih) yang akan dilaksanakan mulai bulan depan dan seterusnya diperluaskan bagi perkhidmatan internet jalur lebar atau “fixed-broadband”. 

Selain itu, isu panggilan terputus susulan liputan yang tidak stabil turut diperhalusi serta menambah liputan 4G kepada golongan tiga peratus terakhir iaitu penduduk di kawasan kampung dan terpencil yang masih tidak mendapat akses kepada kemudahan itu.

"Sekarang ada tiga peratus lagi yang menghadapi masalah (Internet) di kawasan terpencil seperti di Pos Orang Asli, kawasan yang ada penduduk tetapi sukar syarikat telekomunikasi untuk pasang menara telekomunikasi. 

"Bagi tiga peratus ini, saya dah sebut kepada semua syarikat telco, dan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), kita mesti ikhtiarkan supaya kita selesaikan sebaik mungkin. Gunakanlah satelit dan ‘Universal Service Provision Fund’ untuk selesaikan masalah ini," katanya. 

Pada tahun lepas, dilaporkan sejumlah 7.44 juta premis atau 95.82 peratus mempunyai sambungan gentian dengan liputan 4G setakat suku ketiga 2022 dan MCMC menyasarkan liputan tersebut mencapai 97 peratus daripada sasaran Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 1 menjelang akhir 2022.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan