Usaha pulih kuil purba Muarajambi dipertingkat; berpotensi raih status Warisan Dunia UNESCO
Anggaran Waktu Membaca:

Gambar: CNA
JAMBI: Terbentang 7.5 kilometer dari barat ke timur tebing Batanghari, sungai terpanjang Sumatra, kompleks kuil Muarajambi merupakan warisan budaya Buddha yang meliputi hampir 4,000 hektar.
Indonesia kini ingin beri sorotan kepadanya, yang berpotensi menjadi salah satu kompleks warisan budaya tertua dan terbesar di Asia Tenggara.
Justeru, edisi pertama dalam siri tiga bahagian: Khazanah Purba Indonesia menampilkan kuil tersebut serta keistimewaannya.
Kamas Ruslan Kahar, 67 tahun, menghabiskan 45 tahun hidupnya di tapak arkeologi itu.
Bekas petani itu merupakan salah seorang daripada hampir 200 penduduk dari lapan kampung berhampiran, yang membantu pihak berkuasa dengan kerja-kerja pemulihan di kompleks purba itu yang dibina berkurun-kurun yang lalu dengan hanya menggunakan batu bata terakota.
Sekitar sejam perjalanan dari bandar Jambi di pulau Sumatra, kompleks kuil Muarajambi merupakan tapak warisan budaya Buddha yang terbentang seluas hampir 4000 hektar.
Penyelidikan menganggarkan kompleks tersebut dibina antara kurun ke-6 dan ke-13, semasa zaman kegemilangan kerajaan Sriwijaya dan Melayu.
Pakar arkeologi berkata, reka bentuk dan tata letaknya menunjukkan bahawa ia pernah menjadi pusat penting untuk pembelajaran Buddha dan amalan agama.
Ketua pakar arkeologi, Pejabat Pemeliharaan Warisan, Agus Widiatmoko berkata: "Ketika kita pulihkan semula, kita tunjukkan. Orang akan datang ke sini. Anak-anak muda khususnya generasi kita akan datang ke sini, mereka pasti bertanya. Ini sebenarnya apa?
"Paling tidak kita boleh memberi inspirasi kepada generasi kita dan seterusnya bahawa bangsa kita bangsa yang besar. Bahawa dulunya, jauh sebelum orang-orang Eropah melakukan penjajahan di sini, bangsa kita sudah punya peradaban, punya tempat untuk menghasilkan pengetahuan," jelasnya.
Kompleks tersebut berada dalam Senarai Tentatif Warisan Dunia UNESCO sejak 2009, dan mendapat sorotan baharu pada 2022 selepas lawatan presiden ketika itu, Joko Widodo.
Para pentadbirnya diarahkan untuk menyemarakkannya semula - tetapi ia satu tugas amat besar.
"Untuk melakukan pemulihan secara menyeluruh, ini memerlukan sumber daya bukan hanya kewangan tetapi juga orang, keahlian, tenaga jumlah yang cukup, organisasi dan seterusnya," kata mantan Ketua Pengarah Kebudayaan Indonesia, Hilmar Farid.
"Jambi adalah daerah di mana lombong batubara dan juga perkebunan kelapa sawit merupakan mesin penggerak ekonominya saat ini, sehingga tentu ini harus menjadi pilihan yg tidak mudah.Yang ketiga, ini terkait dengan lingkungan, tetapi juga ancaman dari perubahan iklim," tambahnya.
Kompleks tersebut memiliki lebih 115 tapak dengan pelbagai struktur, serta kira-kira 82 runtuhan yang masih tertimbus.
Perigi berusia 600 tahun itu adalah salah satu daripada pelbagai struktur dan artifak yang cukup terpelihara di tapak tersebut, yang juga menempatkan pokok-pokok yang berusia lebih daripada 300 tahun.
Ia dahulunya jam matahari. Ia pernah mempunyai jarum petunjuk di tengah, dan orang ramai dapat menentukan masa berdasarkan bayangan jarum petunjuk di permukaan ini bila terkena sinar matahari.
Untuk meningkatkan minat orang ramai, pihak berkuasa juga sedang membina sebuah muzium.
Lebih daripada sekadar pameran artifak tradisional, akan ada ruang terbuka untuk orang ramai mempamerkan pelbagai bentuk seni yang dikaitkan dengan Muarajambi, serta makmal penyelidikan berkaitan dengan seni bina, tumbuh-tumbuhan dan budaya.
Para pakar berharap konsep "Muzium Hidup" itu akan mengukuhkan identiti tapak tersebut sebagai pusat pendidikan.
"Tentu kesediaan kemudahan, akses ya, dan juga stigma masyarakat terhadap muzium dan warisan budaya di Indonesia. Ini yang cuba kita buat terobosan, kita cuba untuk tawarkan terutama di Muarajambi," jelas Pakar Pengurusan Pameran Tapak Warisan Budaya Negara Muarajambi, Aprina Murwanti.
Usaha kini diteruskan di bawah pentadbiran baharu Indonesia, dengan matlamat untuk mendapatkan status Warisan Dunia UNESCO untuk Muarajambi.
Walaupun kerja-kerja pemulihan mungkin mengambil masa sehingga 15 tahun, kompleks kuil Muarajambi kekal menjadi simbol kebanggaan bagi warisan budaya Indonesia yang kaya.

Sumber : CNA/IQ/ss
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.