Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Usaha menyatukan parti politik antara cabaran PM Anwar

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Usaha menyatukan parti-parti politik yang berbeza ideologi akan menjadi antara cabaran yang perlu dihadapi Perdana Menteri ke-10 Encik Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan perpaduan yang stabil dan kukuh, menurut penganalisis politik dan pakar undang-undang.

Pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Prof Madya Dr Shamrahayu Ab Aziz berkata tugas itu memerlukan kebijaksanaan yang tinggi memandangkan perlembagaan parti-parti terlibat mengandungi peruntukan yang berbeza.

“Ia (perlembagaan parti) menzahirkan betapa berbezanya ideologi masing-masing. Inilah cabaran yang paling penting supaya kerajaan ini kukuh dan tak perlu kita tukar kerajaan,” katanya dalam temu bual Siaran Khas Istiadat Angkat Sumpah Perdana Menteri ke-10 di Bernama TV, pada Khamis (24 Nov).

Selain itu, Dr Shamrahayu juga berkata persidangan pertama Parlimen perlu dilaksanakan selewat-lewatnya pada pertengahan Disember untuk membentangkan Bajet 2023 bagi melaksanakan sekurang-kurangnya bayaran gaji untuk penjawat awam.

Seorang lagi penganalisis politik Prof Dr Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia (USM) berkata komposisi kerajaan perpaduan mestilah rasional dan praktikal serta merangkumi wakil daripada semua blok politik, agama, etnik, jantina dan negeri.

Katanya walaupun dengan jumlah anggota kabinet yang kecil, namun ia mestilah padat dan bermutu dengan kepakaran, kebolehan dan kemahiran yang membolehkan kabinet bergerak sebagai satu pasukan.

“Sudah pasti kabinet ini wajar merangkumi kesemua yang telah pun bersetuju untuk berada dalam kerajaan perpaduan. Ia tidak boleh terlalu besar dan saya percaya satu langkah yang boleh diambil ialah mengelak daripada mengambil mereka yang berjawatan dalam parti.

Mungkin yang tidak berjawatan dalam parti boleh berada dalam kerajaan supaya kerajaan itu berjalan dengan licin, lancar dan tersusun dan juga membawa keharmonian dalam kalangan mereka yang akan menganggotai jemaah menteri,” katanya.

Encik Anwar semalam (24 Nov) mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Istiadat angkat sumpah berkenaan diadakan selepas Seri Paduka Baginda memperhalusi titah pandangan Raja-Raja Melayu yang berkenan berangkat menghadiri Perbincangan Khas Raja-raja Melayu di Istana Negara pagi tadi bagi membuat keputusan yang terbaik demi kepentingan dan kesejahteraan negara serta rakyat, lima hari selepas keputusan rasmi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan