Skip to main content

Dunia

Usaha Malaysia rombak proses pengambilan pekerja asing ditolak; reputasi negara dipertaruh, kata aktivis

Anggaran Waktu Membaca:
Usaha Malaysia rombak proses pengambilan pekerja asing ditolak; reputasi negara dipertaruh, kata aktivis

Gambar: Mohd Rasfan/AFP

Diterbitkan : 25 May 2024 11:55AM Dikemas Kini : 25 May 2024 12:00PM
KUALA LUMPUR: Rancangan kerajaan Anwar Ibrahim untuk merombak dasar pengambilan pekerja asing di Malaysia, khususnya pengambilan pekerja warga Bangladesh, mendapat tentangan hebat daripada pemain industri dan segmen penjawat awam yang bertekad untuk mengekalkan kedudukan sekarang.

Bestinet Sdn Bhd yang dikawal pihak swasta telah menolak pembaharuan buruh hijrahan kerajaan.

Menurut sumber kerajaan yang memberitahu Mediacorp, syarikat itu mempunyai hubungan rapat dengan ahli politik terkemuka Malaysia dan telah lama dirundung kontroversi.

Pertikaian itu tercetus akibat rancangan Kementerian Dalam Negeri Malaysia yang ingin menggantikan sistem IT Bestinet yang kini menguruskan pergerakan buruh asing ke Malaysia.

Semakan kerajaan sebelum ini menunjukkan bahawa sistem itu disalah guna dan urus.

Menurut sumber kerajaan dan dokumen yang disemak Mediacorp, kontrak Bestinet dengan kerajaan Malaysia untuk mengendalikan Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) akan tamat pada hujung bulan ini.

FWCMS merupakan satu-satunya platform yang digunakan Jabatan Imigresen negara itu bagi permohonan visa dari 15 negara yang berbeza yang mengeksport buruh ke Malaysia.

Menurut sumber, pengurusan tertinggi syarikat tersebut, termasuk pengasas Mohamed Amin Abdul Nor, dan ejen-ejen buruh yang sejajar dengan Bestinet telah melobi kerajaan Encik Anwar secara aktif. Ini termasuk memanfaatkan rangkaian mereka dengan elit politik Malaysia untuk mendapatkan lanjutan berbilang tahun baharu bagi konsensi FWCMS itu.

Bestinet yakin untuk menghentikan satu rancangan kerajaan, bagi memperkenalkan satu mekanisme baharu, jelas para pegawai pentadbiran dan aktivis buruh yang mengetahui keadaan itu.

Sistem baharu itu menampilkan satu portal IT, yang telah menjalani pembangunan sejak tahun lalu dan berusaha menjadikan proses pengambilan kerja buruh asing lebih murah, lebih tulus dan mengurangkan pelibatan pihak ketiga.

Menteri Dalam Negeri Malaysia Saifuddin Nasution Ismail enggan memberi respons kepada permintaan untuk mengulas. Seorang penasihat kanan kementeriannya bagaimanapun mengatakan bahawa hal tersebut akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet mingguan itu sebelum Perdana Menteri Anwar membuat keputusan muktamad.

Para eksekutif Bestinet enggan mengulas mengenai rencana ini.

TARUHAN BAGI BESTINET DAN ANWAR

Mendapat lanjutan kepada platform FWCMS adalah penting bagi Bestinet, yang merupakan pemain utama dalam sektor pengambilan buruh asing berbilion ringgit.

Syarikat itu mengisytiharkan keuntungan bersih sebanyak RM85.04 juta (S$24 juta) pada hujung 2022, melonjak daripada RM704,432 (S$201,678) pada tahun sebelumnya, menurut maklumat kewangan yang dikemukakan ke Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

Taruhannya juga tinggi bagi pentabiran Encik Anwar.
Related article image
Gambar: Mohd Rasfan/AFP
Pada bulan lalu, sekumpulan pakar daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menegur kerajaan Malaysia atas penderitaan yang dilalui para pekerja rakyat Bangladesh.

Pakar-pakar itu melahirkan kebimbangan mengenai sejumlah besar wang dihasilkan melalui penipuan pengambilan pekerja hijrahan oleh rangkaian jenayah yang beroperasi antara Malaysia dan Bangladesh.

Menurut pakar itu, pekerja hijrahan diperdaya, diambil bekerja oleh syarikat-syarikat yang lazimnya palsu, dan dikehendaki membayar yuran pengambilan kerja yang mahal, sekali gus menyebabkan mereka terhimpit dengan hutang.

"Keadaan pekerja hijrahan Bangladesh yang telah tinggal di Malaysia selama beberapa bulan atau lebih lama adalah tidak mampan dan tidak bermaruah," kata pakar-pakar itu. "Malaysia perlu mengambil langkah segera untuk menangani situasi kemanusiaan yang teruk bagi para pendatang asing dan melindungi mereka daripada eksploitasi, jenayah dan pencabulan hak asasi manusia yang lain. "

Menjawab beberapa hari kemudian, Bestinet mempertahankan sistem FWCMSnya. Kes-kes sedemikian yang melibatkan pekerja rakyat Bangladesh "boleh dielakkan dengan usaha wajar melalui sistem FWCMS", kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Ismail Mohd Noor kepada akhbar New Straits Times.

Dengan mendigitalisasikan dan memusatkan langkah-langkah dalam pengambilan dan pengurusan pekerja hijrahan, sistem itu memberikan keterlihatan dan kebolehkesanan, mengurangkan risiko eksploitasi dan penyalahgunaan, katanya.
Sumber : CNA/SE/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita