Skip to main content

Dunia

Usaha gulingkan pembelot yang sokong PM Anwar beri kesan buruk kepada parti Bersatu pimpinan Muhyiddin, kata penganalisis

Anggaran Waktu Membaca:
Usaha gulingkan pembelot yang sokong PM Anwar beri kesan buruk kepada parti Bersatu pimpinan Muhyiddin, kata penganalisis

Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia Hamzah Zainudin (kanan) bercakap kepada presiden parti Muhyiddin Yassin semasa konvensyen Bersatu pada 24 Nov 2023. (Gambar: Fadza Ishak/CNA)

SINGAPURA: Keputusan parti pembangkang Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk mengenakan tekanan ke atas enam Ahli Parlimen (AP), yang menyuarakan sokongan kepada kerajaan, boleh memakan diri dan terus menjejas parti itu, para penganalisis memberitahu Mediacorp.

Ini setelah Bersatu pada 2 Mac meminda perlembagaannya untuk secara automatik menggugurkan Ahli Parlimen yang menentang pendirian parti itu. Ia adalah sebahagian daripada langkah, yang bertujuan untuk mengelak kerajaan daripada mencuri Ahli Parlimen dan anggotanya sendiri daripada mengeksploitasikan kelemahan undang-undang untuk menyokong parti politik lain.

Pindaan itu tertakluk kepada kelulusan oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS) dan boleh dicabar di mahkamah dalam proses undang-undang yang panjang, dengan wujudnya peluang untuk disingkirkan.

Enam AP Bersatu itu termasuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Encik Zahari Kechik (Jeli), Encik Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Encik Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Encik Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Encik Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang). Mereka mengikrarkan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim demi mendapatkan peruntukan bagi kawasan pilihan raya.

Persengketaan dalam parti itu tercetus ketika Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin terlibat dalam pertarungan kes undang-undangnya sendiri, selepas Mahkamah Rayuan membatalkan pembebasannya dalam kes rasuah RM232.5 juta (S$66 juta). Mantan Perdana Menteri Muhyiddin cuba mengukuhkan kepimpinannya dalam Bersatu sebagai parti utama dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).

Encik Muhyiddin berkata bahawa pindaan perlembagaan Bersatu tersebut, jika diluluskan oleh RoS, akan memaksa enam Ahli Parlimen berkenaan mengosongkan kerusi mereka dan sekali gus memberi laluan kepada pilihan raya kecil, selaras dengan undang-undang antilompat yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Walau bagaimanapun, Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Azmi Hassan memberitahu Mediacorp meskipun undang-undang antilompat parti diguna pakai terhadap Ahli Parlimen yang keluar parti, ia tidak menyatakan mengenai Ahli Parlimen yang dipecat oleh parti mereka.

"Enam ahli Bersatu itu akan hilang keahlian, tetapi sekali lagi mereka boleh bebas dan mengekalkan kerusi mereka. Jadi, tiada faedah untuk Bersatu dalam kes ini," katanya.

Dr Azmi berkata, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang sudah berpecah daripada Bersatu, mempunyai pandangan jauh untuk memastikan calon pilihan rayanya menandatangani perjanjian sebelum pilihan raya umum 2022 supaya mematuhi pendirian parti itu pada setiap masa.

"Nampaknya UMNO boleh berfikir untuk masa depan, berbanding Bersatu yang berada dalam keadaan siap siaga ketika ini," tambahnya.

Dr Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya mengatakan pemimpin utama Bersatu mengubah perlembagaan parti itu kerana mereka "cemas" lebih ramai Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mereka yang berpotensi menyokong Encik Anwar.

"Jika ahli-ahlinya menyatakan sokongan kepada kerajaan secara beramai-ramai, ini akan mempercepatkan kejatuhan Bersatu," katanya.

Dr Awang Azman menarik perhatian bahawa cabaran undang-undang boleh mengambil masa dua hingga tiga tahun untuk dihadapkan ke mahkamah. Dan jika pindaan itu dibatalkan kemudian, ini boleh menyebabkan lebih ramai ahli berpaling tadah daripada parti. Bersatu kemudian mungkin berisiko kehilangan "kaitan politik", ujar Dr Awang Azman.

Sebahagian daripada enam Ahli Parlimen tersebut sudah menzahirkan keyakinan bahawa RoS tidak akan meluluskan cadangan pindaan perlembagaan parti itu, kerana mereka merasakan ia melanggar hak mereka sebagai Ahli Parlimen yang mempunyai tugas kepada pengundi mereka. Yang lain pula mengatakan mereka akan mencabar sebarang kelulusan di mahkamah.

KEMUNGKINAN KEMENANGAN PN DALAM PILIHAN RAYA KECIL?

Namun jika ancaman untuk mengosongkan kerusi mereka menjadi lebih jelas, penganalisis politik Universiti Sunway Wong Chin Huat berkata enam AP boleh menarik balik kesetiaan mereka kepada Encik Anwar, kerana mereka mungkin tidak yakin menang dalam pilihan raya kecil tanpa sokongan PN.

Dr Wong merasakan PN mungkin akan memenangi semua kerusi kecuali Labuan, sebuah wilayah persekutuan di Sabah yang beliau percaya "memerlukan dana persekutuan lebih daripada ideologi parti".

"UMNO mempunyai peluang tipis di Selangor (di mana terletaknya kerusi persekutuan Tanjong Karang), tetapi PN berkemungkinan akan mengekalkan kerusi di Kelantan (Gua Musang dan Jeli) dan Hulu Perak (Bukit Gantang dan Kuala Kangsar)," katanya.

Dr Wong menyatakan bahawa PN akan merebut peluang untuk bertanding dalam pilihan raya kecil sebagai platform untuk berkempen dalam isu-isu hangat yang mungkin memberi gambaran negatif terhadap Encik Anwar dan pentadbirannya, seperti penyusutan nilai ringgit dan kenaikan cukai jualan dan perkhidmatan.

"Jika saya Anwar, saya akan memberitahu pembelot untuk menarik balik sokongan mereka sekarang dan mengundi dengan kerajaan hanya apabila perlu," tambahnya.


PERBALAHAN DALAM PN

Dalam gambaran yang lebih besar, pembelotan Bersatu "terus memecahbelahkan" PN, kata Profesor Madya Azmil Tayeb dari Universiti Sains Malaysia dalam rencana yang diterbitkan pada 6 Mac untuk Institut ISEAS-Yusof Ishak.

Penganalisis tersebut menyentuh bagaimana PAS, dalam pilihan raya enam negeri, memenangi 72 peratus daripada kerusi yang dimiliki PN, menonjolkan keseimbangan kuasa dalam PN yang "sangat condong" terhadap parti Islam itu.

Presiden Parti Islam Se-Malaysia Abdul Hadi Awang (kanan) bersama Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar. (Gambar: Fadza Ishak/CNA)
Begitu juga, Dr Azmi percaya PAS memerlukan Bersatu, bukan untuk menarik pengundi Melayu, tetapi untuk memberi keyakinan kepada pengundi tersebut bahawa PN boleh mentadbir negara secara profesional.

Ini memandangkan Bersatu mempunyai anggota kanan dengan pengalaman dalam kerajaan persekutuan, seperti Setiausaha Agungnya dan ketua pembangkang ketika ini, Hamzah Zainudin serta Timbalan Presiden dan mantan Menteri Belia dan Sukan, Ahmad Faizal Azumu.

"Satu lagi perkara ialah PAS memerlukan Bersatu untuk menarik pengundi bukan Melayu kerana sokongan pengundi Melayu terhadap PAS telah mencapai takat maksimum," katanya.

"Itulah sebab mengapa saya lihat PAS tidak akan mengabaikan Perikatan Nasional, meskipun Bersatu sangat sangat lemah pada saat ini."
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita