Upacara persemadian mangsa serangan tembakan Pantai Bondi bermula di Sydney
Anggota masyarakat Yahudi menghadiri upacara peringati mangsa terkorban dalam insiden tembakan di Pantai Bondi di Sydney pada 16 Dis 2025. (Gambar: Reuters/Jeremy Piper)
Polis Australia juga sedang menumpukan perhatian terhadap penembak yang didakwa pasangan bapa dan anak iaitu Sajid Akram, 50 tahun dan anak lelakinya berusia 24 tahun, yang dilaporkan sebagai Naveed, sambil mereka menyiasat kemungkinan kedua-duanya mempunyai kaitan kepada Kumpulan ISIS.
Sajid terbunuh dalam serangan tembak menembak dengan pegawai polis di taman Pantai Bondi di mana serangan itu berlaku pada Ahad (14 Dis).
Para penyiasat dijangka menyoal siasat Naveed seawal Rabu, sebaik sahaja kesan pengambilan ubat-ubatan semakin berkurangan dan dengan kehadiran penasihat undang-undang, kata Pesuruhjaya Polis New South Wales, Mal Lanyon.
Naveed masih dirawat di hospital Sydney selepas dia menyedarkan diri daripada koma.
Satu upacara pengebumian bagi Rabai Eli Schlanger, seorang penolong rabai di Sinagog Chabad Bondi dan bapa kepada lima orang anak, akan diadakan pada pukul 11.00 pagi.
PM ALBANESE AKAN HADIRI UPACARA PENGEBUMIAN JIKA DIUNDANG, KATANYA
Perdana Menteri Anthony Albanese tidak berkata sama ada beliau akan menghadiri sebarang upacara pengebumian tersebut.
"Saya akan menghadirinya jika saya diundang; upacara persemadian yang diadakan adalah untuk mengucapkan selamat tinggal kepada insan-insan tersayang," kata PM Albanese kepada ABC Radio, sekali gus mencadangkan beliau tidak dijemput untuk menghadiri.
PM Albanese berdepan kritikan bahawa pemerintah berhaluan kirinya tidak melakukan secukupnya untuk menghalang sentimen anti-Yahudi di Australia semasa perang dua tahun antara Israel dengan Gaza dan gagal menghalang insiden tembakan besar-besaran itu.
Penggubal undang-undang dari parti pembangkang Julian Leeser berkata terdapat "kemarahan meluap-luap dalam masyarakat" berhubung serangan itu.
Beberapa mangsa lain termasuk seorang individu terselamat daripada Holocaust atau pembunuhan beramai-ramai orang Yahudi oleh Nazi Jerman, iaitu pasangan suami isteru yang mendekati suspek sebelum dia mula melepaskan tembakan dan seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun bernama Matilda, menurut temu bual, laporan pihak berkuasa dan media.
Pihak berkuasa kesihatan menyatakan pada Rabu bahawa 22 pesakit sedang menerima rawatan di beberapa hospital Sydney untuk kecederaan mereka.
Lelaki-lelaki yang dituduh melakukan serangan di Bondi Beach pada Ahad mengunjungi selatan Filipina, sebuah kawasan yang lama dibelenggu oleh kumpulan ISIS, sebelum melancarkan serangan yang menurut polis Australia, seolah-olah diilhamkan oleh kumpulan ISIS.
Ahmed al Ahmed, 43 tahun, lelaki yang menangkap salah seorang penembak untuk melucutkan senjatanya, masih dirawat di hospital Sydney dengan luka tembakan dan sudah pun diziarahi oleh pemimpin politik persekutuan dan negeri Australia.
Beliau meninggalkan kampung halamannya di wilayah barat laut Syria, Idlib, hampir 20 tahun yang lalu untuk mencari pekerjaan di Australia.
Bapa saudaranya, Mohammed al-Ahmed di Syria mengenalinya daripada rakaman video yang tersebar di internet.
"Kami mendapat tahu melalaui media sosial. Saya menelefon bapanya dan beliau memberitahu saya bahawa itu adalah Ahmed. Ahmed adalah seorang wira, kami bangga dengannya. Syria secara umumnya bangga dengannya," kata bapa saudaranya kepada Reuters.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.