UNRWA kecam Israel larang media asing masuk Gaza
Ketua Pesuruhjaya Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA), Philippe Lazzarini bercakap kepada media pada Sabtu (7 Jun). (Gambar: Agensi Anadolu)
GAZA: Ketua Pesuruhjaya Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA), Philippe Lazzarini pada Sabtu (7 Jun) mengutuk larangan berterusan Israel terhadap kemasukan wartawan antarabangsa ke Gaza.
“Ini tidak pernah berlaku sebelum ini dalam mana-mana konflik lain dalam sejarah moden,” kata Encik Lazzarini dalam satu kenyataan yang ditukil Anadolu Agency.
“Ia menghalang kebenaran, menghalang pelaporan fakta (dan) resipi sempurna yang menggalakkan maklumat palsu, perpecahan dan mencabul hak asasi manusia.”
Beliau menekankan peri penting laporan bebas dan sokongan terhadap wartawan tempatan, sambil berkata bahawa wartawan-wartawan antarabangsa mesti dibenarkan membuat liputan secara bebas dari Gaza dan menyokong rakan seperjuangan mereka di Palestin yang berterusan menjalankan tugas dengan berani meskipun berdepan risiko yang amat membahayakan.
“Hampir 200 daripada mereka dilaporkan terbunuh sejak perang bermula,” katanya Encik Lazzarini sambil menegaskan bahawa “larangan terhadap media antarabangsa mesti ditarik balik.”
Sementara itu, UNRWA pada Sabtu (7 Jun) sekali lagi mengulangi gesaannya supaya pemerintah Israel beri kerjasama berhubung dakwaan yang dikemukakannya terhadap agensi itu. Beliau menambah bahawa tiada bukti kukuh diberikan walaupun sudah berulang kali diminta.
“Selepas 20 bulan, UNRWA masih belum terima sebarang maklum balas dan pemerintah Israel juga belum mengemukakan sebarang bukti yang mencukupi,” menurut kenyataan rasmi agensi berkenaan.
Agensi itu turut menegaskan komitmen berterusannya terhadap menegakkan hak asasi kemanusiaan sambil memberi jaminan: “UNRWA kekal komited terhadap mandatnya dan bersedia menghulurkan bantuan kemanusiaan skala besar di Gaza bersama agensi-agensi PBB yang lain.”
Israel, yang menolak gesaan antarabangsa untuk kuat kuasakan gencatan senjata, melancarkan serangan tentera yang disifatkan sebagai genosid di Gaza sejak Oktober 2023. Tindakan itu mengorbankan hampir 54,700 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak. Agensi bantuan itu turut memberi amaran tentang risiko kebuluran dalam kalangan lebih dua juta penduduk di Carikan Gaza.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.