Skip to main content

Dunia

Universiti Malaya mohon maaf jemput penceramah asing pro-Israel

Anggaran Waktu Membaca:
Universiti Malaya mohon maaf jemput penceramah asing pro-Israel

(Gambar: X/Brucedgilley)

Diterbitkan : 25 Apr 2024 03:11PM Dikemas Kini : 25 Apr 2024 03:12PM
SHAH ALAM: Universiti Malaya (UM) memohon maaf kepada semua pihak berkaitan kontroversi menjemput profesor yang didakwa pro-Israel, Bruce Gilley sebagai speaker jemputan ke universiti itu.

Menerusi kenyataan UM, pihaknya sudah mengambil tindakan serta-merta untuk membatalkan sebarang program serta aktiviti melibatkan penceramah jemputan warga asing itu, lapor Sinar Harian.

"Kami ambil maklum saranan Menteri Pengajian Tinggi, Zambry Abd Kadir. Kami kesal dengan kenyataan kontroversi serta tidak menghormati sentimen masyarakat seperti tular di laman media sosial.

"Laporan lengkap berhubung isu tersebut sedang disediakan dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang didapati turut terlibat dalam perkara ini," katanya pada Khamis (25 Apr).

Pada Rabu (24 Apr), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Malaysia, mengarahkan UM membatalkan sebarang program dan aktiviti yang dijadual dihadiri penceramah warga asing itu, yang mengeluarkan kenyataan mencetuskan kontroversi dan tidak menghormati sentimen masyarakat seperti tular di media sosial.

Menurut laporan Sinar Harian, Encik Zambry turut mengarahkan universiti berkenaan untuk menyiasat perkara berkenaan dan melaporkan segera butiran lanjut.

Awal dari itu, UM mendapat kecaman kerana membenarkan seorang ahli akademik Amerika Syarikat menyebarkan propaganda Israel, dan menuduh anggota politik Malaysia yang menyokong perjuangan Palestin menyebarkan kebencian terhadap orang Yahudi.

Bruce Gilley, seorang Profesor Sains Politik di Universiti Portland State, dikatakan menuduh anggota politik Malaysia menggesa 'Holocaust kedua' terhadap orang Yahudi dan dia juga menyerang mantan Perdana Menteri Malaysia, Dr Mahathir Mohamad.

Dalam pada itu, menurut kenyataan itu lagi, demi memastikan perkara berkenaan tidak berulang, UM juga sedang menambah baik prosedur dan garis panduan yang lebih ketat terutamanya semakan latar belakang mana-mana individu, atau pihak yang akan bekerjasama termasuk kajian penilaian risiko profil media sosial.

Jelasnya, UM turut mengecam kenyataan terbaharu individu tersebut berkenaan aspek keselamatan mengembara ke Malaysia.

"Ini merupakan kenyataan tidak bertanggungjawab dan melampau yang mencetuskan kemarahan seluruh rakyat Malaysia.

"Kami akan terus mendokong pendirian kerajaan yang menentang sebarang unsur berkait dengan Israel dan menyokong penuh usaha mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara merdeka yang sah," katanya, seperti dinukil Sinar Harian.
Sumber : Agensi berita/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita