Skip to main content

Dunia

Universal Studio rancang buka taman tema di Arab Saudi

Anggaran Waktu Membaca:
Universal Studio rancang buka taman tema di Arab Saudi
(Gambar: Pexels)
Diterbitkan : 21 Dec 2025 11:06PM Dikemas Kini : 21 Dec 2025 11:09PM
PHILADELPHIA: Universal Studio berada pada peringkat awal satu rancangan untuk membangunkan taman tema baharu di Arab Saudi, menurut laporan The Wall Street Journal.

Projek tersebut, yang sedang diterokai syarikat induk Universal Studios, Comcast, kini berada pada fasa pelan konsep awal dan belum diluluskan untuk pembinaan.

Taman yang dicadangkan itu dijangka menjadi sebahagian daripada Qiddiya, sebuah destinasi hiburan, sukan dan pelancongan berskala besar yang terletak di barat daya Riyadh.

Tiada garis masa rasmi diumumkan, meskipun ia disasarkan untuk siap pada 2030-an.

Ketua Pegawai Eksekutif Comcast, Brian Roberts, baru-baru ini melawat Arab Saudi untuk menghadiri persidangan pelaburan dan melawat Qiddiya, yang dilihat secara meluas sebagai lokasi berpotensi untuk projek tersebut.

"Universal Studios berada dalam peringkat awal perancangan untuk membina sebuah taman tema baharu di Arab Saudi," kata Encik Roberts.

"Projek tersebut kini berada pada fasa konsep, ia belum muktamad atau sedang dibina... Qiddiya mungkin menjadi lokasi untuk taman tersebut."

Potensi kemasukan Universal Studios mencerminkan minat yang meningkat daripada jenama hiburan global utama di Arab Saudi, ketika kerajaan Saudi mempertingkat pelaburan dalam infrastruktur riadah, pelancongan dan industri kebudayaan di bawah Visi 2030, iaitu strategi kebangsaan untuk mempelbagaikan ekonomi daripada bergantung kepada minyak.

Arab Saudi sudah membangunkan beberapa destinasi hiburan berskala besar, termasuk Six Flags Qiddiya City, taman tema pertama negara itu, yang dijadualkan dibuka di Riyadh pada 31 Disember 2025.

Industri pelancongan di Arab Saudi berkembang pesat dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Lebih 100 juta pelawat direkodkan pada tahun 2024, termasuk kira-kira 30 juta pelancong antarabangsa.

Perangkaan awal untuk tahun 2025 menunjukkan pertumbuhan berterusan, dengan kira-kira 60.9 juta pelawat dalam separuh pertama tahun ini.
Sumber : Agensi berita/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita