Unit pengkomputeran cloud AWS Amazon hapuskan ratusan jawatan
Amazon menghapuskan sekurang-kurangnya ratusan jawatan dalam unit pengkomputeran awannya, Amazon Web Services (AWS), pada Khamis (17 Jul), menurut dua sumber.
Logo Amazon Web Services (AWS) dilihat di persidangan Viva Technology di pusat pameran Porte de Versailles, Paris, Perancis, pada 12 Jun 2025. (Gambar fail: REUTERS/Benoit Tessier)
Ini berlaku hanya sebulan selepas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Andy Jassy memberi amaran bahawa penerapan alat kecerdasan buatan (AI) generatif akan membawa kepada pengurangan tenaga kerja.
Jurucakap Amazon mengesahkan bahawa jawatan-jawatan itu dihapuskan, namun tidak menyatakan jumlah sebenar.
Amazon, yang menggajikan 1.6 juta pekerja sepenuh dan separuh masa di seluruh dunia setakat akhir Mac, menyertai senarai syarikat besar lain seperti Microsoft, Meta dan CrowdStrike yang turut mengumumkan pemberhentian pekerja tahun ini.
Semakin banyak syarikat kini memanfaatkan AI untuk menulis kod perisian dan mengautomasikan tugasan rutin, dalam usaha untuk mengurangkan kos dan kebergantungan terhadap tenaga manusia.
“Kami telah membuat keputusan perniagaan yang sukar untuk menghentikan beberapa jawatan dalam pasukan tertentu di AWS,” kata jurucakap Amazon dalam satu kenyataan emel.
“Keputusan ini perlu dibuat agar kami dapat terus melabur, menggajikan dan mengoptimumkan sumber untuk memberikan inovasi kepada pelanggan kami.”
Hasil jualan AWS meningkat 17 peratus pada suku pertama kepada AS$29.3 bilion (S$37.65 bilion) berbanding tempoh yang sama tahun lalu, manakala pendapatan operasi naik 23 peratus kepada AS$11.5 bilion (S$14.78 bilion).
Beberapa pekerja memberitahu Reuters bahawa mereka menerima emel pada pagi Khamis yang memaklumkan tentang pemberhentian tersebut dan bahawa komputer kerja mereka akan dinyahaktifkan.
Walaupun Reuters tidak dapat menentukan skala penuh pemberhentian tersebut, sekurang-kurangnya satu kumpulan, yang dikenali sebagai “pakar” (specialists), terjejas.
Kumpulan tersebut bekerjasama dengan pelanggan untuk membantu mencipta idea produk baharu dan menjual perkhidmatan sedia ada.
Beberapa kumpulan dalam AWS terlibat dalam pemberhentian itu, menurut Amazon.
Amazon sebelum ini sudah membuat menghapuskan pekerjaan secara bertahap-tahap, yang terbaharu melibatkan unit buku, peranti dan perkhidmatannya, serta bahagian podcast Wondery.
Encik Jassy sedang mengurangkan apa yang disifatkannya sebagai lebihan birokrasi dalam syarikat tersebut, termasuk menamatkan peranan para pengurus.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.