Uniform 'bijak' bagi tangani masalah ponteng sekolah
Sekolah-sekolah di bahagian selatan China kini menggunakan pakaian seragam sekolah yang dilengkapi dengan cip 'bijak' bagi memantau para pelajar, dalam satu usaha untuk menangani tabiat ponteng sekolah serta meningkatkan kehadiran para pelajar.
Pakaian seragam sekolah dilengkapi dengan cip-cip yang boleh mengesan lokasi para pelajar. (Gambar: Chandan Khanna/AFP)
BEIJING: Sekolah-sekolah di bahagian selatan China kini menggunakan pakaian seragam sekolah yang dilengkapi dengan cip 'bijak' bagi memantau para pelajar, dalam satu usaha untuk menangani tabiat ponteng sekolah serta meningkatkan kehadiran para pelajar. Demikian menurut media tempatan.
Pakaian seragam sekolah itu dilengkapi dengan cip-cip yang boleh mengesan lokasi para pelajar. Ia juga berupaya mencatat masa seseorang pelajar masuk atau keluar sekolah, menurut syarikat teknologi yang menghasilkan alat pengesan tersebut.
"Apabila para pelajar memasuki sekolah, pakaian seragam sekolah itu akan memetik gambar atau merakam video mereka," kata Ran Ruxiang, pengetua sebuah sekolah rendah yang terletak di wilayah Guizhou. Sekolah rendah itu mula memperkenalkan pakaian seragam bijak berkenaan pada November lalu.
Encik Ran memberitahu agensi berita AFP bahawa lebih separuh daripada 1,400 pelajar sekolah berkenaan kini memakai pakaian seragam sekolah bijak tersebut.
Sekurang-kurangnya 10 sekolah di wilayah Guizhou dan Guangxi sudahpun memanfaatkan teknologi itu, menurut laporan akhbar Global Times pada Khamis (20 Dis).
Jika para pelajar meninggalkan pekarangan sekolah tanpa sebarang kebenaran, penggera suara automatik akan diaktifkan, menurut laporan tersebut.
Selain itu, alat-alat pengecaman wajah yang dipasang pada pintu-pintu sekolah juga boleh membantu pakaian seragam sekolah tersebut mengesan sekiranya para pelajar menukar pakaian antara satu sama lain.
"Kami memutuskan untuk tidak memeriksa lokasi tertentu para pelajar selepas waktu sekolah tetapi pakaian seragam sekolah itu boleh membantu mengesan mereka sekiranya mereka hilang atau ponteng sekolah," kata Lin Zongwu, pengetua sebuah sekolah di wilayah Guizhou, kepada akhbar Global Times.
Bagaimanapun sejauh ini, masih tidak jelas sejauh manakah pakaian-pakaian seragam sekolah bijak itu benar-benar berkesan dalam membantu mencegah para pelajar daripada ponteng sekolah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.