Skip to main content

Dunia

UNIFIL selar tindakan Israel musnahkan menara pemerhati Lubnan

Anggaran Waktu Membaca:
UNIFIL selar tindakan Israel musnahkan menara pemerhati Lubnan

(Gambar fail: Jalaa MAREY / AFP)

Diterbitkan : 05 Jan 2025 03:58PM Dikemas Kini : 05 Jan 2025 03:59PM
BEIRUT: Pasukan Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) pada Sabtu (4 Jan) mengecam tindakan tentera Israel memusnahkan menara pemerhati tentera Lubnan serta mengalihkan tong biru yang menandakan garisan pengunduran antara Lubnan dan Israel, lapor Agensi Anadolu (AA).

Dalam kenyataannya, UNIFIL memaklumkan bahawa pasukan pengaman PBB itu menyaksikan sebuah jentolak milik tentera Israel "memusnahkan tong biru yang menandakan garisan pengunduran antara Lubnan dan Israel di Labbouneh."

Menurut pasukan pengaman, jentolak itu juga memusnahkan "sebuah menara pemerhati milik Angkatan Bersenjata Lubnan yang terletak berhampiran dengan kedudukan UNIFIL".

UNIFIL mengutuk sekeras-kerasnya insiden tersebut, sambil menegaskan bahawa "pemusnahan secara sengaja dan langsung oleh tentera Israel terhadap kedua-dua harta benda dan infrastruktur UNIFIL yang boleh dikenal pasti dengan jelas milik Angkatan Bersenjata Lubnan melanggar terang-terangan Resolusi 1701 dan undang-undang antarabangsa."

"Kami menyeru semua pihak untuk mengelakkan sebarang tindakan, termasuk pemusnahan harta benda dan infrastruktur awam yang boleh menjejasjan usaha menamatkan permusuhan," kata pasukan PBB itu.

Resolusi 1701 Majlis Keselamatan PBB yang diterima pakai pada 11 Ogos 2006, menyeru agar permusuhan antara Hezbollah dan Israel dihentikan sepenuhnya dan penubuhan zon bebas senjata antara Garisan Biru dan Sungai Litani di selatan Lubnan, dengan pengecualian untuk tentera Lubnan dan UNIFIL.

Menjelang petang Sabtu (4 Jan), Israel telah melakukan 383 pelanggaran perjanjian gencatan senjata, menyebabkan 32 kematian dan 39 kecederaan, menurut pengiraan Anadolu berdasarkan data rasmi Lubnan.

Di bawah syarat gencatan senjata itu, Israel dikehendaki mengundurkan tenteranya ke selatan Garisan Biru secara berperingkat, manakala tentera Lubnan akan ditempatkan di selatan Lubnan dalam tempoh 60 hari.

Data daripada Kementerian Kesihatan Lubnan menunjukkan bahawa sejak serangan Israel terhadap Lubnan bermula pada 8 Okt 2023, sekurang-kurangnya 4,063 mangsa terbunuh, termasuk wanita, kanak-kanak dan petugas kesihatan, manakala 16,664 yang lain cedera.
 
Sumber : Bernama/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita