Skip to main content

Dunia

UNICEF hantar bekalan tindak balas kecemasan Ebola ke Congo

UNICEF mula menghantar bekalan kemanusiaan penting, termasuk melalui pengangkutan udara, ke Republik Demokratik Congo (DR Congo) sebagai tindak balas kecemasan terhadap wabak Ebola yang semakin meruncing, menurut satu kenyataan lewat Khamis (28 Mei), lapor Anadolu Ajansi (AA).

Anggaran Waktu Membaca:
UNICEF hantar bekalan tindak balas kecemasan Ebola ke Congo

Lebih 100 tan metrik bekalan tindak balas kecemasan dihantar ke Republik Demokratik Congo dengan bantuan Kesatuan Eropah (EU). (Gambar: REUTERS/Gradel Muyisa Mumbere)

Diterbitkan : 29 May 2026 11:00PM
KIGALI: UNICEF mula menghantar bekalan kemanusiaan penting, termasuk melalui pengangkutan udara, ke Republik Demokratik Congo (DR Congo) sebagai tindak balas kecemasan terhadap wabak Ebola yang semakin meruncing, menurut satu kenyataan lewat Khamis (28 Mei), lapor Anadolu Ajansi (AA).

Lebih 100 tan metrik barangan termasuk peralatan perlindungan diri untuk para pekerja kesihatan barisan hadapan, ubat-ubatan, bahan kebersihan dan bekalan perubatan dihantar dengan bantuan Kesatuan Eropah (EU).

"Kami berlumba dengan masa untuk membendung wabak ini. Keadaan masih sangat membimbangkan dan dinamik. Bekalan kecemasan ini penting untuk membantu melindungi pekerja barisan hadapan dan membantu masyarakat yang terjejas termasuk kanak-kanak," kata John Agbor, wakil UNICEF di Congo.

Bekalan berkenaan dijangka membantu hampir 100,000 orang termasuk kanak-kanak dan keluarga yang tinggal dalam masyarakat yang berdepan situasi kemanusiaan rapuh dengan penduduk kehilangan tempat tinggal, konflik dan akses terhad kepada perkhidmatan sosial asas.

Barangan itu sudah diangkut dari hab bekalan dan logistik global UNICEF di Copenhagen menerusi perkhidmatan udara kemanusiaan khusus yang disokong oleh Perlindungan Awam dan Operasi Bantuan Kemanusiaan Suruhanjaya Eropah, bertujuan membendung penularan virus dalam kalangan masyarakat yang terjejas.

Laporan situasi yang dikeluarkan pada Rabu oleh Kementerian Kesihatan negara itu menunjukkan jumlah disyaki kes Ebola di Congo melepasi 1,000 di tengah-tengah lonjakan kes di seluruh wilayah timur.

Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Tedros Ghebreyesus mendarat di Congo pada Khamis dalam lawatan yang bertujuan meningkatkan usaha membendung Ebola di negara itu.

Menyedari keperluan pemilikan masyarakat terhadap langkah pencegahan, Encik Tedros memberitahu pemberita bahawa wabak semasa adalah rumit disebabkan oleh perpindahan penduduk dan ketidakamanan di kawasan terjejas, yang menjadikannya sangat sukar untuk membendung wabak tersebut.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita