UNICEF gesa semua lintasan bantuan kemanusiaan ke Gaza dibuka; cegah kematian kanak-kanak
Penduduk Palestin, yang terpaksa berpindah ke bahagian selatan Gaza menyusuli arahan Israel semasa perang Israel-Hamas, kembali ke bahagian utara wilayah itu. (Gambar: REUTERS/Mahmoud Issa)
“Situasinya sangat kritikal. Kita berdepan risiko melihat lonjakan besar dalam kematian kanak-kanak, bukan sahaja bayi baru lahir, tetapi juga bayi dan kanak-kanak kecil, memandangkan sistem daya tahan tubuh mereka lebih terjejas berbanding sebelumnya,” kata jurucakap UNICEF, Ricardo Pires.
Tentera Israel mula berundur dari beberapa bahagian wilayah Palestin pada Jumaat di bawah perjanjian gencatan senjata dengan Hamas, dalam fasa pertama inisiatif Presiden Amerika Syarikat Donald Trump untuk menamatkan perang yang sudah berlangsung selama dua tahun.
PBB merancang untuk meningkatkan penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza, di mana beberapa kawasan sedang mengalami kebuluran, dalam 60 hari pertama gencatan senjata di wilayah itu, kata seorang pegawai kanan PBB pada Khamis.
UNICEF menyatakan bahawa sokongan pemakanan (nutrition) menjadi keutamaan, dengan 50,000 kanak-kanak berisiko mengalami kekurangan zat makanan akut dan memerlukan rawatan segera.
Encik Pires berkata imuniti kanak-kanak adalah rendah kerana “mereka tidak makan dengan betul dan kebelakangan ini langsung tidak makan untuk tempoh yang terlalu lama”.
“Bagi kanak-kanak, mereka perlu mendapat vitamin dan zat makanan yang betul untuk membesar dan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan suhu, atau penularan virus,” tambahnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.