Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

UNHCR gesa Thailand pindahkan pelarian Myanmar ke tempat lebih selamat

Anggaran Waktu Membaca:
UNHCR gesa Thailand pindahkan pelarian Myanmar ke tempat lebih selamat

Gambar fail khemah UNHCR. (Gambar: DELIL SOULEIMAN / AFP)

BANGKOK: UNHCR, badan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mengendalikan hal ehwal pelarian, menggesa kerajaan Thailand supaya memindahkan kira-kira 1,000 pelarian Myanmar yang berlindung di “kawasan selamat sementara” di Mae Sot, wilayah Tak ke lokasi yang lebih selamat.

“Keadaan masih sangat tidak menentu dan bergolak di Myanmar. Memandangkan keperluan kemanusiaan yang mendesak bagi pelarian dan pertempuran berterusan di sebelah sempadan Myanmar, UNHCR menyeru Kerajaan Thai supaya memindahkan kumpulan itu ke lokasi lain agar mereka mendapat tempat tinggal sementara yang lebih selamat dan lebih bermaruah dan menerima bantuan kemanusiaan yang lebih baik,” menurut UNHCR dalam kenyataannya.

Menurut sumber rasmi, lebih 9,500 orang awam dipaksa meninggalkan rumah mereka di wilayah Kayin dan Kayah di tenggara Myanmar sehingga mereka terpaksa mencari tempat tinggal dan perlindungan di wilayah Tak dan Mae Hong Son di Thailand berikutan pertempuran antara pasukan keselamatan dengan kumpulan-kumpulan militan.

Meskipun sebahagian besar sudah pulang ke Myanmar, UNHCR difahamkan oleh pihak berkuasa Thai bahawa kira-kira 1,000 pelarian masih kekal di Mae Sot, dengan ramai daripada mereka tinggal di tapak perlindungan di Mae Kone Kane.

UNHCR turut mengulangi kesediaannya untuk membantu pihak berkuasa Thailand sebagai respons kepada keperluan kemanusiaan pelarian.

“Bagi tujuan itu, UNHCR dan rakan-rakan kemanusiaan yang lain akan terus memohon akses kepada golongan pelarian tersebut,” dedah kenyataan itu.

Pada Isnin, Utusan Khas Setiausaha Agung PBB ke Myanmar, Noeleen Heyzer, meminta sokongan Thailand untuk membantu menghalang keadaan yang lebih teruk di Myanmar.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan