Skip to main content

Dunia

Undi 'hilang' di 5 cabang Melaka bukan manipulasi data, tegas Jawatankuasa Pemilihan Pusat

Sejumlah data undi yang 'hilang' di lima cabang Melaka pada pemilihan PKR Sabtu lepas (20 Okt) bukan manipulasi data, kata Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) Dr Adzman Hedra.

Anggaran Waktu Membaca:
Undi 'hilang' di 5 cabang Melaka bukan manipulasi data, tegas Jawatankuasa Pemilihan Pusat

Gambar hiasan. (Gambar hiasan: Manan Vatsyayana/AFP)

Diterbitkan : 26 Oct 2018 08:02AM Dikemas Kini : 26 Oct 2018 08:08AM

KUALA LUMPUR: Sejumlah data undi yang 'hilang' di lima cabang Melaka pada pemilihan PKR Sabtu lepas (20 Okt) bukan manipulasi data, kata Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) Dr Adzman Hedra.

Beliau berkata sekumpulan pakar teknologi maklumat (IT) yang dijemput oleh JPP untuk cuba mencari semula 2,001 data undi berkenaan mengesahkan bahawa undi tersebut gagal dikesan.

"Kita sudah memanggil pakar IT termasuk pakar bebas dari luar negara, juga pakar IT dari wakil calon Timbalan Presiden (Encik Mohamed Azmin Ali dan Encik Mohd Rafizi Ramli), untuk cuba dapatkan semula undi, namun gagal, dan mereka bersepakat memutuskan undi tersebut 'hilang' disebabkan teknikal dan bukan dimanipulasi," katanya ketika dihubungi Bernama malam Khamis (25 Okt).

Terdahulu, satu pertemuan dan perbincangan pakar berkenaan diadakan di Institut Darul Ehsan (IDE), Shah Alam.

Mengulas mengenai penyelesaian undian di lima cabang negeri Melaka, Encik Adzman berkata, dua cara ditawarkan sama ada mengadakan keseluruhan pemilihan semula atau pemilihan semula anggota yang undinya terjejas sahaja.

"JPP berpendapat eloklah jika diberi peluang pengundi terjejas untuk dikembalikan hak mereka. Apapun ia akan dimuktamadkan kemudian," katanya.

Encik Adzman berkata JPP juga masih meyakini integriti ‘e-undi' yang buat pertama kali dilaksanakan pada pemilihan PKR.

Hari ini (26 Okt), 10 daripada 15 cabang di Kedah akan mengadakan pemilihan semula setelah pemilihan pada 22 September dibatalkan ekoran pergaduhan sesama anggota serta masalah teknikal sistem e-undi (undi secara digital).

Cabang terlibat ialah Langkawi, Jerlun, Kubang Pasu, Padang Terap, Pokok Sena, Alor Setar, Kuala Kedah, Pendang, dan Sik.

Sejumlah 49,924 anggota layak mengundi di Kedah.  

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita