Skip to main content

Dunia

Undi belia Malaysia jadi tumpuan jelang Pilihan Raya Negeri Sembilan

Anggaran Waktu Membaca:
Undi belia Malaysia jadi tumpuan jelang Pilihan Raya Negeri Sembilan

Bendera kempen pilihan raya negeri di Seremban, 29 Jul 2026. (Gambar: CNA/Fadza Ishak)

Diterbitkan : 31 Jul 2026 04:48PM Dikemas Kini : 31 Jul 2026 04:49PM
NEGERI SEMBILAN: Pengundi muda dijangka menjadi penentu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, dengan hampir separuh daripada jumlah pengundi berumur di bawah 40 tahun dan beberapa kerusi dijangka dimenangi dengan perbezaan majoriti yang tipis.

Sedang para pengundi bakal menjalankan tanggungjawab mereka pada Sabtu (1 Ogos), parti-parti politik telah menyesuaikan kempen mereka khas untuk golongan muda Malaysia dengan menjanjikan pekerjaan yang lebih baik, rumah mampu milik, peluang pendidikan, dan pengangkutan awam yang lebih baik demi memenangi hati blok pengundi terbesar di negeri itu.

Persaingan ini menjadi antara saingan peringkat negeri yang paling mendapat tumpuan di dalam negara, dengan Pakatan Harapan (PH) berjuang untuk mempertahankan salah satu kubu kuat utamanya daripada cabaran bersepadu oleh bekas sekutunya, Barisan Nasional (BN), dan gabungan pembangkang, Perikatan Nasional (PN).

Penganalisis politik menyatakan pengundi muda kurang terikat dengan kesetiaan parti secara tradisional berbanding generasi terdahulu. Sebaliknya, mereka lebih memberi tumpuan kepada isu-isu sara hidup dan peluang pekerjaan.

UNDI BELIA JADI TUMPUAN

Kempen politik juga beralih ke platform online, dengan parti-parti politik semakin banyak menggunakan TikTok, Instagram, dan Threads di samping ceramah tradisional untuk mendekati pengundi kali pertama dan generasi Gen Z.

Kira-kira 47 peratus daripada pengundi di Negeri Sembilan berumur di bawah 40 tahun. Pengundi berusia antara 30 hingga 39 tahun membentuk kumpulan umur terbesar, manakala pengundi Gen Z di bawah umur 30 tahun merangkumi kira-kira satu perempat daripada keseluruhan pengundi berdaftar.

Gabungan PH pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim membentangkan manifesto tertumpu kepada tadbir urus yang baik, pertumbuhan ekonomi yang inklusif, perumahan mampu milik, serta penciptaan peluang pekerjaan dan perniagaan yang bermutu.

Menteri Besar sedia ada, Aminuddin Harun, turut berjanji untuk meningkatkan bantuan tunai, terutamanya untuk pelajar, dalam usaha mengekalkan sokongan daripada pengundi muda.

Seorang pengundi belia memberitahu Mediacorp bahawa pendidikan kekal menjadi keutamaan utamanya.

"Saya mengundi untuk pendidikan yang lebih baik, supaya pelajar dapat masuk ke universiti yang bagus, terutamanya universiti yang mereka cita-citakan," katanya.

Seorang lagi pengundi berkata penambahbaikan pengangkutan awam akan memberi perbezaan yang paling besar.

"Pengangkutan awam sangat penting bagi saya kerana saya kerap travel menggunakan bas, kapal terbang, dan KTM (keretapi). Kami juga memerlukan lebih banyak biasiswa," katanya.

UNDI ORANG ASLI TURUT JADI REBUTAN

Sementara itu, BN berjanji untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi melalui perkhidmatan awam yang lebih baik dan insentif berorientasikan belia.

Gabungan itu juga berusaha memikat masyarakat Orang Asli dengan mencadangkan pelantikan seorang pegawai khas di Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan untuk mewakili kepentingan masyarakat pribumi tersebut.

Walaupun Orang Asli hanya merangkumi kira-kira dua peratus daripada keseluruhan pengundi di negeri itu, parti-parti politik Malaysia menyedari bahawa setiap undi amat berharga dalam pilihan raya yang sengit ini.

Kedua-dua BN dan PH meningkatkan usaha mendekati masyarakat pribumi sejak beberapa minggu belakangan ini, dengan menjanjikan jalan raya yang lebih baik, rangkaian pengangkutan yang ditambah baik, serta akses yang lebih luas kepada perkhidmatan kesihatan dan pendidikan.

Seorang pengundi Orang Asli berkata hak milik tanah kekal sebagai kebimbangan terbesar mereka.

"Apa yang kami minta hanyalah tanah untuk rumah kami, tanah adat kami. Kehidupan kami bukannya mudah. Kami bergantung kepada tanah dan hidup daripada apa yang dihasilkannya," katanya kepada Mediacorp.

PN juga mengemukakan cadangan untuk melengkapi manifesto BN selepas kedua-dua parti bersetuju untuk tidak bertembung sesama sendiri bagi mengelakkan perpecahan undi orang Melayu.

Pengerusi PN, Ahmad Samsuri Mokhtar daripada parti berteraskan Islam, PAS, berkata kerjasama itu mampu mengubah landskap politik Malaysia.

RISIKO TINGGI BUAT ANWAR

Pemerhati politik berpendapat bahawa di sebalik pelbagai janji dasar yang ditawarkan, kempen ini sebahagian besarnya didorong oleh sentimen awam.

"Ramai anak muda yang bergelut. Ketidakpuasan hati terhadap kerajaan, serta ketidakpercayaan terhadap institusi dan pihak berkuasa adalah sangat-sangat tinggi," kata Ibrahim Suffian, pengasas bersama pusat penyelidikan pendapat umum, Merdeka Center.

"Ini bukanlah kempen yang berasaskan dasar (atau) kepimpinan. Ia adalah kempen yang bergerak sepenuhnya atas sentimen ... menentang DAP, menentang Anwar - kerana Anwar telah membuat terlalu banyak janji yang tidak ditunaikan."

Di pentas kempen, tokoh-tokoh utama daripada kem pembangkang telah menyasarkan Parti Tindakan Demokratik (DAP), yang merupakan komponen utama gabungan PH. Mereka menggambarkan parti majoriti Cina itu sebagai anti-Melayu dan anti-Islam, tuduhan yang kerap kali dinafikan oleh DAP.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, sedang berusaha untuk mempertahankan kerusinya di kawasan luar bandar campur Chennah, di mana pengundi Melayu merangkumi kira-kira 48 peratus, pengundi Cina 42 peratus, dan masyarakat Orang Asli sekitar 7 peratus.

Isi-isu berkaitan kaum dan agama memainkan peranan menonjol sepanjang dua minggu berkempen, sedang parti-parti bertanding untuk meyakinkan golongan muda Malaysia bahawa mereka mampu menyelesaikan masalah yang menjejaskan kehidupan harian rakyat.

Satu lagi faktor yang boleh mempengaruhi keputusan ialah peratusan kehadiran daripada kelompok "pengundi luar" Negeri Sembilan yang agak besar - iaitu pengundi yang bekerja atau belajar di luar negeri dan perlu pulang untuk mengundi. Penganalisis berkata penyertaan mereka boleh menjadi penentu di beberapa kerusi sengit.

Bagi Encik Anwar, kejayaan mempertahankan Negeri Sembilan akan memperkukuhkan keyakinan terhadap Kerajaan Perpaduan pimpinannya. Bagi pakatan BN-PN pula, merampas penguasaan negeri itu akan memberi isyarat bahawa kerjasama mereka semakin kukuh, sekali gus berpotensi mengubah dinamik politik negara.
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita