Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Undang-undang hijab Iran sedang disemak, kata peguam negara

Anggaran Waktu Membaca:

TEHRAN: Parlimen Iran dan badan kehakiman negara itu sedang mengkaji semula undang-undang pemakaian hijab, yang mencetuskan tunjuk perasaan besar-besaran selama lebih dua bulan, kata peguam negara.

Kejadian itu  bermula selepas Mahsa Amini, seorang warga Iran berusia 22 tahun asal Kurdish, meninggal dunia dalam tahanan pada 16 September selepas dia ditangkap oleh polis moral Iran kerana didakwa melanggar kod pakaian bagi wanita.

Penunjuk perasaan bertindak dengan membakar tudung mereka dan melaungkan slogan antipemerintah. Sejak kematian Amini, semakin ramai wanita tidak mengendahkan undang-undang pemakaian hijab, terutamanya di utara Tehran.

Pemakaian hijab diwajibkan bagi semua wanita di Iran pada April 1983, empat tahun selepas revolusi 1979 yang menggulingkan pemerintahan beraja yang disokong Amerika Syarikat.

"Kedua-dua parlimen dan badan kehakiman sedang berusaha (mengenai isu)", sama ada undang-undang memerlukan sebarang perubahan, kata Mohammad Jafar Montazeri di kota suci Qom.

Beliau dipetik oleh agensi berita ISNA, sebagai berkata demikian pada Jumaat (2 Dis), namun tidak memberikan butiran apa yang boleh diubah suai dalam undang-undang tersebut.

Pasukan semakan telah bertemu pada Rabu dengan suruhanjaya kebudayaan parlimen "dan akan melihat keputusannya dalam seminggu dua minggu ini", kata peguam negara berkenaan.

Presiden Ebrahim Raisi pada Sabtu berkata asas-asas Islam dan republik Iran telah termaktub dalam perlembagaan.

"Tetapi ada kaedah pelaksanaan perlembagaan yang fleksibel," katanya di televisyen.

Iran menuduh Amerika Syarikat dan sekutunya, termasuk Britain, Israel, dan kumpulan Kurdish yang berpangkalan di luar negara, mencetuskan keganasan jalanan yang disifatkan pemerintah sebagai "rusuhan".

Seorang jeneral  buat pertama kalinya minggu ini berkata lebih 300 orang maut dalam pergolakan sejak kematian Amini.

Badan keselamatan tertinggi Iran, pada Sabtu berkata jumlah yang terbunuh semasa tunjuk perasaan "melebihi 200".

Dipetik oleh agensi berita negara IRNA, ia berkata angka itu termasuk pegawai keselamatan, orang awam, pemisah bersenjata dan "perusuh".

Sumber : AGENCIES/SU/su
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan