Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

'Uncle Kentang' berharap Anugerah Komanwel jadi pembakar semangat galak lebih ramai buat kerja amal

Aktivis sosial Kuan Chee Heng berharap Anugerah Komanwel Points of Light yang diterimanya akan membuka jalan dan mencetus inspirasi agar lebih ramai terlibat dengan aktiviti kebajikan.

Anggaran Waktu Membaca:
'Uncle Kentang' berharap Anugerah Komanwel jadi pembakar semangat galak lebih ramai buat kerja amal

Encik Kuan Chee Heng menerima Anugerah Komanwel Points of Light daripada Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia, Encik Charles Hay. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 15 Sep 2021 09:35PM Dikemas Kini : 15 Sep 2021 09:38PM

KUALA LUMPUR: Aktivis sosial Kuan Chee Heng berharap Anugerah Komanwel Points of Light yang diterimanya akan membuka jalan dan mencetus inspirasi agar lebih ramai terlibat dengan aktiviti kebajikan.

Beliau berharap lebih ramai individu, organisasi bukan kerajaan dan syarikat korporat akan tampil menghulurkan bantuan bukan hanya kepada rakyat Malaysia tetapi juga pelarian dan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) atas dasar kemanusiaan.

Encik Kuan, 57 tahun, yang lebih dikenali sebagai 'Uncle Kentang' berkata penghargaan itu adalah untuk semua penderma dan rakyat Malaysia yang bekerja keras dan menyokong semua inisiatif yang dilakukannya.

"Saya berharap penghargaan antarabangsa yang ditandatangani Ratu England ini akan membuka jalan lebih banyak pihak tampil memberikan bantuan pada waktu yang sukar ini. 

“Sekatan akibat pandemik ini, pelarian dan pemegang kad UNHCR turut terjejas," katanya kepada Bernama selepas menerima anugerah itu.

Anugerah itu disampaikan oleh Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia, Encik Charles Hay di kediaman rasminya bagi pihak Ratu Elizabeth II.

Anugerah itu diberikan Ratu Elizabeth, selaku Ketua Komanwel, kepada sukarelawan daripada 54 negara Komanwel sebagai pengiktirafan kepada kerja-kerja sukarelawan.

Encik Kuan merupakan rakyat Malaysia keempat menerima penghargaan itu sejak dimulakan pada 2018.

Anak kelahiran Batu Pahat, Johor itu sudah terlibat dengan kerja-kerja amal sejak 20 tahun lalu, termasuk membantu ramai pemegang kad UNHCR iaitu warga Afghanistan dan Rohingya.

Encik Kuan berkata beliau dan pasukannya akan memulakan inisiatif menghantar perkhidmatan ambulans untuk mengangkut pesakit COVID-19 dari rumah mereka ke hospital terdekat di Lembah Klang, mulai esok.

Terdapat empat ambulans di bawah penyeliaan mereka setakat ini.

Selain itu, rundingan sedang dibuat dengan beberapa kerajaan negeri untuk membuka rumah penjagaan warga emas gaya resort dalam usaha memberikan kehidupan berkualiti dan kondusif kepada golongan itu secara percuma, katanya yang mula digelar Uncle Kentang sejak mengedarkan kentang kepada orang miskin.

Sumber : Bernama/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan