Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

'Unboxing isteri' runtuhkan institusi keluarga, tegas timbalan menteri agama M'sia

Anggaran Waktu Membaca:
'Unboxing isteri' runtuhkan institusi keluarga, tegas timbalan menteri agama M'sia

Tangkap layar daripada media sosial

Diterbitkan : 13 Jan 2022 10:12AM Dikemas Kini : 13 Jan 2022 03:18PM

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Ahmad Marzuk Shaary menegaskan trend 'unboxing isteri' boleh membawa kepada keruntuhan institusi keluarga.

Katanya kepada Malaysiakini, ini lebih-lebih lagi apabila bakal ibu bapa sebagai tonggak institusi keluarga dari awal lagi sudah tidak mengikut landasan nilai yang betul, apatah lagi mahu memupuk nilai moral anak-anak.

"Selain daripada menjelaskan hukum Islam yang melarang trend 'unboxing isteri' ini, saya menyeru agar semua pihak yang berperanan turut mengambil tindakan proaktif dengan mempromosikan nilai keluarga Islam terutamanya di saluran media baru yang ada," katanya dalam kenyataan di Facebook pada Rabu (12 Jan), seperti dinukil Malaysiakini. 

Awal dari itu, trend 'unboxing isteri' tular di media sosial dengan aktiviti memuat naik video suami menanggalkan aksesori pakaian isteri pada hari pertama perkahwinan mereka.

Perbuatan itu memberi gambaran seolah-olah perkara tersebut (pasangan pengantin) melakukannya sebelum 'malam pertama'.

Sementara itu, Ahmad Marzuk berkata, memandang berat terhadap peranan keluarga sebagai sebuah institusi pencorak masyarakat, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah mengambil inisiatif memperkenalkan Pelan Tindakan Sosial Islam (PTSI) Tahun 2019–2025, lapor Malaysiakini. 

Pelan ini katanya, diperkenalkan dengan tujuan untuk menangani gejala sosial dalam kalangan orang Islam di Malaysia.

"Antara langkah-langkah yang diperkenalkan pelan ini adalah penetapan agar setiap agensi yang berada di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mestilah memanfaatkan dan mengoptimumkan penggunaan media massa dan media sosial bagi mempromosikan nilai-nilai murni dalam institusi kekeluargaan Islam.

"Perancangan di pihak kerajaan ini juga sangat memerlukan kerjasama yang holistik daripada semua lapisan masyarakat bagi membendung gejala sosial yang melanda umat Islam pada hari ini," jelasnya.

Tambah anggota Parlimen Pengkalan Chepa itu, masyarakat hari ini hidup di zaman bercampur baur antara perkara yang halal dan haram, seperti dinukil Malaysiakini.

Ujarnya lagi, hal ini bukan perkara yang pelik jika melihat kepada bagaimana media sosial dioptimumkan sepenuhnya untuk mengumpul kekayaan melalui populariti dan ramainya jumlah ‘follower’.

"Sedikit sebanyak tempias ini turut menjejaskan nilai-nilai dalam sebuah institusi keluarga Islam. Pasangan suami isteri tidak lagi menghiraukan maruah, sehingga sanggup mendedahkan aib pasangan demi sebuah ‘content’," kata Ahmad Marzuk.

Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan