Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

UMNO usah hidup dalam fantasi; sedangkan angin perubahan ditiup anak muda

Tindakan UMNO yang sukar berubah dan amat konservatif dengan meletakkan ramai calon 'otai' berbanding Pakatan Harapan (PH) yang menyenaraikan barisan calon muda, adalah antara faktor parti itu tewas di Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
UMNO usah hidup dalam fantasi; sedangkan angin perubahan ditiup anak muda

Pengerusi Alumni Kelab-Kelab UMNO Luar Negara. (Gambar: BH Online)

Diterbitkan : 09 Jun 2018 07:41AM Dikemas Kini : 09 Jun 2018 07:46AM

KUALA LUMPUR: Tindakan UMNO yang sukar berubah dan amat konservatif dengan meletakkan ramai calon 'otai' berbanding Pakatan Harapan (PH) yang menyenaraikan barisan calon muda, adalah antara faktor parti itu tewas di Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

Pengerusi Pertubuhan Alumni Kelab-Kelab UMNO Luar Negara Wan Agyl Wan Hassan, berkata PRU14 adalah manifestasi anak muda dan mereka yang mula meniupkan angin perubahan serta mengajak untuk mewujudkan apa yang dikenali sebagai Malaysia Baru, lapor BH Online.

"Kepada UMNO, jika benar-benar mahu berubah, parti itu perlu memberi laluan kepada lebih ramai orang muda.

"Jangan hidup di alam fantasi lagi, hanya pemimpin muda saja yang mampu mengembalikan kepercayaan orang ramai kepada parti Melayu terbesar di negara kita ini.

"Bagi pemimpin Pergerakan Pemuda di peringkat pusat, bahagian mahupun cawangan perlulah berani ke hadapan menawarkan diri untuk memegang jawatan penting di dalam parti, manakala mereka yang di atas pergilah ke peringkat yang lebih tinggi.

"Sekarang adalah zaman anak muda, apatah lagi separuh daripada jumlah keseluruhan pengundi di Malaysia adalah anak muda berusia 21 hingga 39 tahun. Maka biarlah orang muda yang tentukan hala tuju Malaysia," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini (9 Jun).

Sehubungan itu, Encik Wan Agyl berkata, beliau menyeru anak muda supaya tidak gentar dan pergi bertanding di PRU akan datang.

"Dengan cara ini, UMNO pasti mampu berubah, UMNO pasti mampu mengembalikan kepercayaan rakyat kepadanya pada PRU akan datang.

"Janganlah takut-takut lagi wahai anak muda di dalam UMNO. Pergilah bertanding!," katanya.

Encik Wan Agyl berkata, Barisan Nasional (BN) yang sebelum ini terkenal sebagai parti berpengaruh tewas kepada gabungan parti setahun jagung iaitu gabungan parti dalam PH kerana sokongan padu anak muda.

"Buat kali pertamanya dalam sejarah BN dilihat lemah dan tidak berpengaruh. Malah, ia hanya bergantung kepada UMNO kerana gabungan lain seperti MCA dan MIC hampir lumpuh serta sudah hilang kepercayaan daripada masyarakat yang diwakili mereka," katanya.

Dalam pada itu, beliau juga menyeru kerajaan Malaysia supaya terus memberi kepercayaan kepada orang muda bukan hanya untuk berada dalam bidang politik tetapi juga turut serta menentukan hala tuju negara.

Menurut laporan BH Online, Encik Wan Agyl berkata ini boleh dilihat menerusi pelbagai isu yang ditimbulkan oleh anak muda, disebarkan menerusi pelbagai saluran media sosial.

Keputusan PRU14 lalu itu bukan saja mengejutkan rakyat Malaysia malah negara di Asia Tenggara terutamanya, mereka seakan-akan tidak percaya dengan keputusan berkenaan.

Ini dapat dilihat apabila media utama luar negara tidak putus-putus membuat liputan mengenai perubahan kerajaan ketika itu.

"Bagaimanapun, kini selepas hampir sebulan kerajaan dibentuk, masih tidak ada anak muda yang diangkat memegang jawatan penting di dalam kerajaan," katanya.

Sebaliknya, yang ada cumalah 'Majlis Penasihat' yang dianggotai oleh orang lama di penghujung usia, kononnya untuk menyelamatkan Malaysia walhal, angin perubahan itu sebenarnya ditiup oleh anak muda.

Sumber : Agensi berita/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan