Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

UMNO tuntut Najib Razak diberi keadilan sewajarnya di mahkamah

Anggaran Waktu Membaca:
UMNO tuntut Najib Razak diberi keadilan sewajarnya di mahkamah

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 13 Jan 2023 01:05PM Dikemas Kini : 13 Jan 2023 01:15PM
KUALA LUMPUR: Pendakwaan terhadap Najib Razak kembali bergema di Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU2022) pada Jumaat (13 Jan) selepas parti itu menuntut agar mantan perdana menteri itu diberikan keadilan sewajarnya.

Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi mendakwa sejak awal lagi, UMNO percaya Encik Najib berdepan pendakwaan politik dan terpilih.

Jelas Timbalan Perdana Menteri itu lagi, jasa bekas Ahli Parlimen Pekan itu, yang menjadi antara penyumbang utama kepada kebangkitan semula UMNO dan Barisan Nasional (BN) selepas kekalahan teruk di Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), tidak dilupakan oleh parti.

"Sumbangan beliau mengembalikan sokongan rakyat UMNO dan BN.

"Apabila fenomena 'Bossku' melanda negara, kelompok kecil dalam kalangan kita mendendangkan suara mempertikaikan 'Bossku', diulang-ulang isu mahkamah beliau walaupun kita tahu ia adalah pendakwaan politik dan terpilih.

"Kini, beliau seorang diri di sana (Penjara Kajang). Kita menuntut supaya beliau diberikan keadilan di mahkamah. Kita menuntut supaya pengadilan seadil-adilnya diberikan kepada Najib," katanya ketika menyampaikan ucapan Dasar Presiden di PAU2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini, seperti dipetik Astro AWANI.

Pada 23 Ogos tahun lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta (S$64 juta) ke atas Encik Najib kerana menyelewengkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta (S$12 juta).

Berucap lanjut, Encik Ahmad Zahid berkata selepas kekalahan di PRU14, UMNO mula merangka beberapa strategi politik termasuk membaca dan menilai beberapa pendekatan parti-parti seangkatan dengan UMNO, yang pernah jatuh.

Jelas beliau, sebelum peletakan jawatan Encik Najib sebagai perdana menteri ketujuh, pasukan UMNO berada dalam keadaan yang amat jitu, lapor Astro AWANI.

"Mereka yang terpilih selepas pemilihan parti pada tahun 2018 menjadi barisan hadapan untuk melonjakkan semula citra parti.

"Ada yang terus menyepi dan tidak kurang juga melompat lari. Namun pada ketika itu, suara kita satu sahaja. Mewakili UMNO dan BN.

"Beberapa langkah yang kita ambil, merubah landskap dan sudut pandang rakyat terhadap politik. Sedikit demi sedikit, UMNO kembali diyakini. Apatah lagi tanpa perlu kita apologetik, faktor Bossku," katanya lanjut.
 
Sumber : Agensi berita/FZ/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan