Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

UMNO Terengganu diminta buat aduan kepada SPR, SPRM atas dakwaan sogok pengundi PRU15

Anggaran Waktu Membaca:
UMNO Terengganu diminta buat aduan kepada SPR, SPRM atas dakwaan sogok pengundi PRU15

Setiausaha Agung UMNO Ahmad Maslan. (Gambar fail: Bernama)

PONTIAN: UMNO Terengganu diminta membuat aduan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan berlaku pemberian wang kepada pengundi sepanjang kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada tahun lalu.

Setiausaha Agung UMNO Ahmad Maslan berkata ia perlu dilakukan bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut mengenai dakwaan itu.

"Saya difahamkan khabarnya ketika kempen (ada) pihak-pihak memberi RM150 (S$46) untuk belia, RM300 (S$92) untuk mahasiswi dan RM600 (S$185) bagi golongan orang kurang upaya (OKU) serta pesara dan pemberian berkenaan dipercayai dibuat beberapa hari sebelum pengundian."

"Saya harap jangan buat sesuatu yang menyebabkan umat Islam keliru... disebabkan isu-isu begini, berubah-ubah fatwa. Jika mereka beri (dianggap) sedekah, jika kita (beri) rasuah... pada saya, ini melanggar garis panduan SPR," katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas berkunjung ke rumah pemimpin MCA Bahagian Pontian Ng Sea Bu sempena sambutan Tahun Baru Cina di Pulai Sebatang pada Ahad (22 Jan).

Pada 3 Januari lalu, Badan Perhubungan UMNO Terengganu memfailkan petisyen di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu untuk membatalkan keputusan PRU15 bagi Parlimen Kuala Terengganu, Marang dan Kemaman yang dimenangi PAS.

Pada Jumaat lalu, Presiden PAS Abdul Hadi Awang mengatakan pemberian wang tunai sewaktu kempen pilihan raya tidak menyalahi peraturan kerana ia hanyalah sedekah kepada orang awam.

Pada Ahad, Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) Hamzah Zainudin mendakwa pihaknya mempunyai bukti kukuh bagi menafikan dakwaan gabungan itu melakukan sogokan wang kepada pengundi pada PRU15.
 
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan