Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

UMNO setuju sertai Kerajaan Perpaduan tetapi bukan diterajui PN

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: UMNO menyokong untuk menyertai Kerajaan Perpaduan seperti yang dizahirkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, namun bukan yang diterajui oleh Perikatan Nasional (PN).

Setiausaha Agung UMNO, Ahmad Maslan dalam kenyataannya berkata ia diputuskan dalam Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang dipengerusikan oleh Ahmad Zahid Hamidi yang juga Presiden UMNO.

“MT sebulat suara memutuskan untuk menyokong dan menjunjung titah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong supaya Barisan Nasional mengambil bahagian dalam Kerajaan Perpaduan ...bagi memastikan sebuah kerajaan yang stabil dan makmur dapat dibentuk,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat lebih tiga jam di Menara Dato Onn di Kuala Lumpur pada Rabu malam (23 Nov).

Katanya namun kerajaan itu bukanlah yang diterajui oleh PN.

Beliau berkata MT juga bersetuju semua wakil-wakil parti yang memenangi kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 Malaysia mematuhi dan menerima sebarang bentuk Kerajaan Perpaduan atau lain-lain bentuk kerajaan yang bakal dimasyhurkan oleh Seri Paduka Baginda.

Menurut Encik Ahmad, mesyuarat MT UMNO turut memperkukuhkan sokongan terhadap Encik Ahmad Zahid untuk terus kekal menerajui sebagai Pengerusi BN dan sebulat suara menyokong beliau sebagai Presiden UMNO.

MT telah mengambil maklum dan memperhalusi segala butiran kedua-dua perbincangan yang dijalankan oleh Jawatankuasa Perundingan BN dengan Pakatan Harapan (PH) dan PN, katanya.

Beliau turut memaklumkan Perhimpunan Agung UMNO 2022 akan diadakan dari 21 hingga 24 Disember.

Pada PRU15 Malaysia baru-baru ini, BN hanya memenangi 30 kerusi Parlimen, pencapaian terburuk dalam sejarah, manakala PH menang 82 kerusi, Perikatan Nasional (73), Gabungan Parti Sarawak (23), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Parti Warisan (tiga), Bebas (dua) serta Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat masing-masing satu kerusi.

Keputusan PRU15 Malaysia menyaksikan tidak ada parti mahupun blok parti politik yang berjaya mendapat majoriti sekali gus menyebabkan Parlimen tergantung.

Majlis Raja-Raja akan bermesyuarat pada Khamis (24 Nov) bagi membincangkan pembentukan kerajaan baru.
Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan