Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

UMNO sepatutnya ambil peluang sekarang ubah struktur kepimpinan: Penganalisis

UMNO perlu mengambil peluang sekarang untuk mengubah struktur kepimpinan parti itu. Ini menyusuli perpecahan yang semakin ketara antara Presiden UMNO Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan Naib Presiden Ismail Sabri Yaakob yang kini Perdana Menteri.

Anggaran Waktu Membaca:
UMNO sepatutnya ambil peluang sekarang ubah struktur kepimpinan: Penganalisis

Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi (kiri) dan Naib Presiden parti Ismail Sabri Yaakob, yang juga Perdana Menteri Malaysia, bercakap kepada wartawan selepas konvensyen Barisan Nasional pada 1 Jun 2022. (Gambar: Rashvinjeet S Bedi/CNA)

BERITAmediacorp: UMNO perlu mengambil peluang sekarang untuk mengubah struktur kepimpinan parti itu.

Ini menyusuli perpecahan yang semakin ketara antara Presiden UMNO Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan Naib Presiden Ismail Sabri Yaakob yang kini Perdana Menteri.

Demikian menurut Pengurus Kanan Unit Tadbir Urus & Demokrasi badan pemikir IDEAS Malaysia Cik Aira Nur Ariana Azhari.

PM Ismail Sabri dilaporkan media tempatan pada Jumaat (26 Ogos) bahawa beliau telah digesa oleh Dr Ahmad Zahid agar mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) atau mungkin dipecat daripada UMNO.
Namun PM Ismail Sabri sendiri tidak menghadiri Perhimpunan UMNO yang dianjurkan Dr Ahmad Zahid pada Sabtu (27 Ogos) di Pusat Perdagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur.

Ia bertujuan menunjukkan perpaduan UMNO terhadap bekas Perdana Menteri Najib Razak yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun bagi kes SRC International.

UBAH PERANAN PRESIDEN; FIKIRKAN PEMIMPIN SETERUSNYA

Menurut Cik Aira, krisis yang sedang dialami UMNO sekarang mungkin memberi peluang kepada para anggota UMNO supaya memikirkan semula peranan yang boleh dimainkan Presiden parti itu pada masa depan.

Beliau berkata: "Struktur dalam UMNO ataupun dalam parti politik Malaysia itu sendiri perlu berubah di mana Presiden parti dan juga Perdana Menteri mungkin tidak perlu lagi orang yang sama. Jadi mungkin kita ada Presiden parti yang hanya fokus kepada isu-isu parti, isu-isu dalaman, organisasi parti tapi untuk calon Perdana Menteri, parti mungkin akan mencalonkan orang lain."

"Jadi mungkin ini adalah tanda-tanda untuk perubahan tersebut dan wajar untuk kita fikirkan, mungkin dalam setiap krisis ada peluang untuk pembaharuan jadi mungkin ini adalah proses pembaharuan yang perlu dilalui oleh UMNO dan juga politik Malaysia secara keseluruhannya."

Cik Aira menambah para anggota UMNO juga perlu menimbangkan segala faktor termasuk pemilihan para pemimpin parti tersebut bagi PRU15 yang bakal menjelang.

Ini memandangkan Dr Ahmad Zahid masih terpalit dengan kes-kes mahkamah yang belum lagi berakhir.

"Jadi ini perlu dijawab, dibahaskan oleh ahli-ahli UMNO. Adakah mereka akan mencalonkan Presiden mereka yang sekarang ini mempunyai kes tuduhan di mahkamah ataupun mereka akan mencalonkan Naib Presiden sebagai Perdana Menteri yang mungkin ramai juga tidak bersetuju sebab itu bukan konvensyen dalam UMNO, dalam politik Malaysia," ujar Cik Aira.
ADAKAH UMNO BERJAYA DALAM DESAKAN?

Dalam satu mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO yang diadakan lewat malam Sabtu, desakan diteruskan ke atas PM Ismail Sabri untuk mengadakan PRU15 segera.

Dr Ahmad Zahid juga membidas tuduhan bahawa beliau ingin PRU15 diadakan segera kerana takut akan disabitkan dengan hukuman kes mahkamah yang sedang dihadapinya.
Selaras dengan itu, parti-parti serta perikatan politik Malaysia yang lain turut mengadakan mesyuarat masing-masing.

Parti Keadilan Rakyat (PKR) pimpinan Anwar Ibrahim mengatakan parti beliau sudah bersedia untuk berjuang dalam PRU15 seawal Oktober nanti.

Kenyataan itu turut diulangi Gerakan Tanah Air (GTA) yang diketuai mantan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Pengurusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin juga mengulangi sentimen serupa.

Mereka akur PRU15 mungkin diadakan dalam masa terdekat meskipun ia bukanlah yang diinginkan PM Ismail Sabri.

Perubahan tarikh pembentangan Belanjawan Negara yang diawalkan tiga minggu juga tambah mereka adalah satu petanda besar PRU15 mungkin diadakan tahun ini atau awal 2023.
Berhubung perkara tersebut, Cik Aira menekankan bahawa PM Ismail Sabri mempunyai lebih banyak kuasa dalam menentukan tarikh PRU15.

"Keputusan untuk membubarkan Parlimen itu memang mengikut budi bicara Perdana Menteri. Jadi macam mana sekalipun PM Ismail Sabri masih ada lagi kata putus dalam kes ini dan nampak agak jelas bahawa beliau tentunya mahu menangguhkan pilihan raya selama yang mungkin supaya beliau dapat menghabiskan masa untuk beliau menjadi Perdana Menteri dan mungkin juga untuk beliau melaksanakan apa-apa polisi ataupun dasar yang daripada pihak kerajaan beliau sekarang," ujar beliau.

Lantaran itu, Cik Aira berkata para ahli politik lain termasuk Presiden UMNO juga sebenarnya tiada kuasa mahupun upaya dalam menentukan bilakah PRU15 patut diadakan.
Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan