UMNO sedia terima semula bekas anggota parti: Ahmad Zahid Hamidi
Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada 13 Januari 2023. (Gambar: BERNAMA)
Beliau berkata, bagi menyambut kembali kumpulan tersebut, yang beliau sifatkan sebagai saudara-mara atau adik- beradik, dengan UMNO akan menubuhkan Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa.
Menyifatkan UMNO sebagai ‘Rumah Bangsa’, Encik Ahmad Zahid berkata, parti itu adalah rumah asal politik Melayu yang melahirkan kemerdekaan, membina Perlembagaan, memartabatkan Islam dan mendaulatkan Raja-Raja Melayu, lapor Astro Awani.
“Namun, rumah ini mesti dijaga. Takkan kita hanya berpeluk tubuh, andai atapnya mula bocor, lantainya mula reput. Rumah ini perlu dibersihkan dari debu keangkuhan, agar kembali menjadi teduhan selesa buat seluruh anak bangsa tanpa mengira pangkat dan darjat. UMNO bukan parti elit, tetapi lahir dari keringat rakyat.
“UMNO adalah rumah buat semua bertaut kembali - saat ada yang hilang arah, saat ada yang semakin rebah.. kembalilah.. kembalilah.. Bak kata pepatah, sesat di hujung jalan, kembali ke pangkal jalan,” katanya sewaktu menyampaikan Ucapan Dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2026 pada Jumaat (16 Jan), lapor Astro Awani.
Kenyataan Encik Ahmad Zahid itu dilihat sebagai satu isyarat yang jelas terhadap seruan Pemuda UMNO yang memohon agar parti tersebut menerima kembali mereka yang sudah meninggalkan parti itu, termasuk yang dipecat atau digantung.
Sewaktu menyampaikan ucapan dasarnya pada Khamis (15 Jan), Ketua Pemuda UMNO Dr Muhammad Akmal Saleh menggesa kepimpinan parti untuk berlapang dada dan membuka semula pintu kepada bekas pemimpin dan ahli yang masih setia kepada perjuangan UMNO, biarpun dengan status digantung atau dipecat.
Ucapan itu dilihat sebagai isyarat jelas sokongan terbuka UMNO kepada tokoh seperti Khairy Jamaluddin, mantan Ketua Pemuda UMNO yang dipecat pada 2023 menyusuli kritikan terbuka terhadap kepimpinan parti.
Turut dibuang ialah mantan Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan Sufian, manakala Ahli Parlimen Sembrong, Hishammuddin Hussein masih dalam penggantungan.
Kelibat Encik Khairy, yang juga mantan Menteri Kabinet pada persidangan Pemuda UMNO semalam turut mencuri tumpuan dan beliau secara terbuka mengakui sedikit sebak kerana kembali semua ke persidangan tersebut sebagai jemputan khas.
Dalam pada itu, Encik Ahmad Zahid berkata, UMNO akan menganjurkan Musyawarah Nasional bagi membicarakan agenda politik umat Melayu dengan merangkul semua pertubuhan, pakar-pakar, ahli akademik dan profesional Melayu.
Selain itu, beliau mengakui Barisan Nasional yang berusia lebih 50 tahun dan perlu diberikan nafas baharu agar dilihat sesuai dengan tuntutan zaman.
“Rakan-rakan politik yang setia selama ini perlu dirangkul bagi menambah kekuatan dan sokongan. Untuk itu, UMNO mencadangkan satu proses 'rebranding' atau penjenamaan semula yang menyeluruh perlu dibuat bagi menghadapi PRU ke-16,” katanya lagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.