UMNO Sabah tidak tergugat - Dr Ahmad Zahid Hamidi
UMNO Sabah tidak terbubar atau tergugat dengan tindakan keluar parti beramai-ramai pemimpinnya hari ini, kata Presiden parti Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Gambar fail Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi. (Gambar: Roslan Rahman/AFP)
KUALA LUMPUR: UMNO Sabah tidak terbubar atau tergugat dengan tindakan keluar parti beramai-ramai pemimpinnya hari ini, kata Presiden parti Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata suatu analisis dilakukan terhadap beberapa jawatan dalam Badan Perhubungan UMNO Sabah bagi membolehkan parti itu menyusun dan merombak badan perhubungan itu, termasuk melaksanakan pelan penggantian di peringkat bahagian sebagaimana dalam Fasal 15.7 dan Fasal 15.8 Perlembagaan UMNO.
“Apa yang berlaku di Sabah merupakan suatu tindakan yang sudah dijangka dan ini tidak sama sekali melemahkan perjuangan UMNO yang banyak menabur jasa di negeri itu,” katanya pada sidang media di Menara Dato’ Onn hari ini (12 Dis).
Ekoran krisis kepimpinan UMNO Sabah, Anggota Parlimen Kinabatangan, Encik Bung Moktar Radin dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah berkuatkuasa hari ini, menggantikan Ecik Hajiji Mohd Noor yang keluar parti.
Setiausaha Agung UMNO Encik Annuar Musa berkata pelantikan itu dibuat berikutan tindakan keluar parti yang melibatkan lima anggota Parlimen, sembilan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan dua senator.
Katanya jawatan Timbalan Pengerusi digantikan oleh Ketua Pemuda UMNO Sepanggar Encik Yakub Khan manakala Timbalan Ketua UMNO Kinabatangan, Encik Jefri Ariffin dilantik sebagai Setiausaha dan Ketua UMNO Bahagian Tenom, Encik Raimi Unggi sebagai Ketua Penerangan.
“Setelah berbincang, kita tegaskan UMNO Sabah berfungsi seperti biasa. Kita akan perkasakan parti. Saf pimpinan UMNO Sabah sudah lengkap dan berjalan seperti biasa,” katanya.
Lima anggota Parlimen yang keluar parti adalah Encik Ronald Kiandee (Beluran), Yamani Hafez Musa (Sipitang), Encik Azizah Mohd Dun (Beaufort), Encik Zakaria Edris (Libaran) dan Encik Rahim Bakri (Kudat).
Selain itu, sembilan ADUN ialah Encik Seri Hajiji Mohd Noor (Sulaman), Encik Masidi Manjun (Karanaan), Encik Japlin Akim (Usukan), Encik Musbah Jameh (Tempasuk), Encik Gulam Haidar Khan (Kawang), Encik Mohd Arifin Arif (Membakut), Encik Isnin Aliasnih (Klias), Encik Matbali Musah (Lumadan) dan Encik Nizam Titingan (Apas).
Dua senator UMNO yang keluar parti ialah Encik Ghani Yassin dan Encik John Ambrose.
Turut mengumumkan keluar parti ialah bekas Bendahari UMNO yang juga bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia Encik Salleh Said Keruak yang merupakan Ketua Bahagian Kota Belud.
Mengulas lanjut, Encik Annuar berkata pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan barisan kepimpinan UMNO Sabah yang baru dilantik itu.
“Esok Naib Presiden UMNO Encik Ismail Sabri Yaakob dan Encik Mahadzir Khalid akan ke Sabah untuk bertemu mereka,” katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.