Skip to main content

Dunia

UMNO pertahan PRN Johor 'tepat pada masanya'; Bersama pimpinan Rafizi bakal bertanding

Anggaran Waktu Membaca:
UMNO pertahan PRN Johor 'tepat pada masanya'; Bersama pimpinan Rafizi bakal bertanding

Para pemimpin UMNO termasuk Presiden Ahmad Zahid Hamidi (tengah, podium) dan Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi (kiri), bercakap dengan media di ibu pejabat UMNO Johor. (Gambar fail: CNA/Zamzahuri Abas)

Diterbitkan : 03 Jun 2026 06:58PM Dikemas Kini : 03 Jun 2026 06:59PM
KOTA TINGGI: Keputusan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor disifatkan sebagai langkah tepat pada masanya berikutan tiada tempoh yang benar-benar 'sempurna' untuk mengembalikan semula mandat kepada rakyat menyusuli kalendar tahunan negeri yang sentiasa padat.

Naib Presiden UMNO Mohamed Khaled Nordin berkata perancangan jadual pilihan raya di negeri itu perlu mengambil kira kekangan cuaca serta musim perayaan yang panjang.

“(Dewan Undangan Negeri) Johor hanya tinggal beberapa bulan sahaja lagi tahun ini. Menjelang November, Disember dan Januari, kita bakal berdepan musim monsun dan banjir, khususnya di kawasan seperti Kota Tinggi.

“Seterusnya, Februari dan Mac pula bertembung dengan sambutan Hari Raya. Di Johor, musim perayaan ini biasanya berlangsung agak panjang,” katanya ketika diminta mengulas mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor semasa program Sembang Santai Bersama Pemandu Kereta Sewa dan Teksi Kota Tinggi di Terminal Bas dan Teksi Kota Tinggi pada Rabu (3 Jun).

Encik Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi berkata sekiranya kerajaan negeri melihat tempoh semasa adalah yang terbaik, maka ruang itu harus diberikan sepenuhnya untuk rakyat membuat keputusan.

Mengenai persediaan jentera, beliau berkata prestasi penyandang wakil rakyat Barisan Nasional (BN) berkhidmat dengan cemerlang, selain menyifatkan UMNO sentiasa bekerja menjaga kebajikan masyarakat tanpa mengira musim pilihan raya.

Pada Rabu (3 Jun), Parti Bersama Malaysia (Bersama) - yang dilancarkan semula oleh mantan menteri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad - mengumumkan bahawa ia akan bertanding dalam pilihan raya tersebut.

Walaupun gabungan Barisan Nasional (BN) UMNO sehaluan dengan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim di peringkat persekutuan, mereka adalah pesaing di peringkat negeri di Johor.

Beberapa pemimpin UMNO berkata bahawa Encik Onn Hafiz berhak mengadakan pilihan raya pada masa yang dianggap sesuai oleh parti kerajaan negeri, lapor akhbar The Star.

Kerajaan atau gabenor negeri berhak untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) atas nasihat ketua menteri, yang biasanya dari parti kerajaan atau gabungan negeri.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan pada 1 Jun, dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 perlu diadakan sebelum 31 Julai. Ia sepatutnya diadakan sebelum Jun 2027.

Mengulas mengenai impak PRN Johor terhadap dinamika Kerajaan Perpaduan pada peringkat Persekutuan, Encik Mohamed Khaled menegaskan bahawa hubungan kerjasama antara parti-parti komponen masih utuh dan berjalan seperti biasa.

Beliau berkata semua pihak perlu menerima hakikat bahawa landskap politik negara sudah berubah dan era dominasi tunggal oleh satu-satu parti politik sudah berakhir.

“Realiti hari ini berbeza. Tidak mungkin ada lagi mana-mana parti yang akan mendominasi politik secara sendirian. Kita dapat lihat model pentadbiran yang pelbagai di seluruh negara, pada peringkat pusat komposisinya begini, manakala di negeri pula berbeza,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata adalah penting untuk rakyat Malaysia membina budaya politik matang yang menerima konsep kerjasama demi masa depan negara.

Semalam, Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi mengumumkan pembubaran DUN Johor berkuat kuasa 1 Jun selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail.

SENARAI CALON SEDANG DITELITI

Senarai calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor telah dikemukakan oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor Onn Hafiz Ghazi dan kini dalam peringkat penilaian.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi berkata senarai calon yang telah dikemukakan kepadanya akan dimuktamadkan setelah beliau mengadakan perbincangan bersama pimpinan parti komponen BN.

“Calon-calon dalam peringkat penilaian, namun kita juga harus menghormati calon-calon yang datang (dikemukakan) daripada parti-parti komponen BN yang lain,” katanya.

Encik Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian kepada para wartawan selepas Majlis Penutupan Konvensyen Ekonomi Usahawan Bumiputera (KEUB 2026).

Presiden UMNO itu yang turut mengesahkan Onn Hafiz akan kekal sebagai “poster boy” pada PRN berkenaan berkata BN beriltizam untuk memenangi lebih 40 kerusi pada PRN kali ini, mengatasi rekod yang dicapai pada 2022.

Bagaimanapun, beliau mengakui tiada kemenangan yang boleh diraih dengan mudah melainkan menerusi kerja keras, kebijaksanaan dan jentera yang tersusun.

Selain itu, pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Johor di bawah pentadbiran BN demi kesejahteraan rakyat Johor diyakini bakal meraih sokongan dan keyakinan pengundi pada PRN kali ini.

Dalam pada itu, Encik Ahmad Zahid menepis persepsi negatif mengenai hubungan antara BN dan Pakatan Harapan (PH) ekoran keputusan untuk bertanding secara solo, dengan menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Johor di bawah pentadbiran BN telah terbentuk sebelum wujudnya Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

“Kerajaan di Johor adalah kerajaan BN, bukan Kerajaan Perpaduan. Pintu sudah dibuka oleh BN Johor untuk mereka bertanding secara persahabatan di setiap 56 kerusi DUN,” katanya.

UTAMAKAN CALON MUDA

Parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) wajar mempertimbangkan calon muda dan muka baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, khususnya di kawasan-kawasan yang mempunyai peratusan pengundi muda yang tinggi, kata Ketua Penerangan UMNO Azalina Othman Said.

Beliau berkata langkah itu bukan sahaja memberi impak positif kepada BN, malah membuka ruang generasi baharu untuk diketengahkan sebagai pelapis kepimpinan parti melalui platform Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) itu bagaimanapun berkata keputusan muktamad mengenai pemilihan calon adalah di bawah penilaian penuh Biro Politik dan BN negeri.

Pada masa yang sama, Cik Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang turut menaruh harapan agar dua penyandang kerusi DUN di bawah parlimennya, iaitu Aznan Tamin (Tanjung Surat) dan Fauziah Misri (Penawar) dikekalkan sebagai calon PRN kali ini.

TAMBAH JUMLAH CALON WANITA

Barisan Nasional (BN) berhasrat untuk mengekalkan atau meningkatkan penyertaan calon wanita bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang, kata Pengerusi Wanita BN Dr Noraini Ahmad.

Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO berkata ia menyusuli pencapaian negeri itu yang mempunyai perwakilan wanita tertinggi dalam kalangan wakil rakyat BN.

Cik Noraini yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata Johor ketika ini mempunyai sekitar 26 peratus wakil rakyat wanita daripada BN yang memenangi kerusi pilihan raya lalu.

Cik Noraini ketika mengulas sama ada peratusan itu akan dipertingkatkan berkata perkara itu akan dibincangkan bersama Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi dan Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi.
Sumber : CNA/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita