Skip to main content

Dunia

UMNO perlu rangka pelan tindakan bawa agenda Melayu moden dan maju

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: UMNO perlu satu pelan tindakan (blueprint) bagi membawa agenda Melayu yang "moden dan maju" demi memenangi semula keyakinan masyarakat berkenaan, kata Timbalan Presiden parti itu Mohamad Hasan.

Berucap di majlis perasmian Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri 2023, Encik Mohamad yang lebih dikenali sebagai Tok Mat berkata, parti itu tidak dapat merencana program yang sistematik untuk kemajuan bangsa Melayu, jika UMNO tidak menyediakan pelan tindakan.

"Seruan saya adalah untuk UMNO memulakan langkah berani dan tegas. Merangka blueprint baru dengan membawa Agenda Melayu, yang moden dan maju, untuk meyakinkan bangsa Melayu, bahawa kita ada rencana yang jelas untuk bangsa, lapor Malaysiakini.

"Dengan blueprint sedemikian, kita dapat membuktikan bahawa kita sedar akan masalah yang melingkari bangsa Melayu dan kita ada strategi dan rancangan jangka panjang untuk mereka.

"Hanya dengan sedemikian, kita dapat membezakan diri kita, daripada mereka yang menunggang agama dan bangsa, dalam landskap politik Malaysia. Yang wujud hanya sekadar bermain sentimen agama, dan perkauman yang sempit, demi survival politik," katanya semasa berucap merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2023 di Pusat Perdagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur semalam (7 Jun).


Ahli Parlimen Rembau itu juga mengusulkan agar UMNO segera menganjurkan Kongres Melayu untuk menghimpunkan pemikir terbaik untuk membantu menghasilkan blueprint berkenaan.

Awal dari itu, Tok Mat berkata blueprint berkenaan penting kerana UMNO dilihat belum berjaya menampilkan agenda yang lebih progresif untuk bangsa Melayu.

"Empat tahun telah terbiar begitu sahaja, setelah dihambat pelbagai kemelut politik tanah air.

"Meskipun pahit perlu ditelan, hakikatnya Bumiputera jauh ketinggalan berbanding kaum lain di negara ini. Orang Melayu kita masih tergolong dalam kumpulan miskin tegar, dengan kadar kemiskinan tertinggi berbanding masyarakat yang lain," katanya.

Sementara itu, Encik Mohamad berkata parti itu akan terus memperjuangkan Islam dan Melayu dalam kerangka ‘hubbul watan’ yang lebih sederhana.

Katanya, UMNO juga akan lebih menghargai kepelbagaian Malaysia, dengan unit politik dan sosialnya yang beraneka agama, kaum, etnik serta budaya.

Bagaimanapun Mohamad mengingatkan perjuangan parti itu masih berasaskan nasionalisme Melayu dan Islam walaupun bersama parti berbilang kaum.

"Ingat, DNA UMNO Melayu dan Islam. Ia adalah jati diri yang sama sekali tidak akan kendur.

“Hanya kerana duduk dalam kerajaan yang di dalamnya ada 19 parti-parti lain, tidak bermakna kita membuang agama dan membuang Melayu. Jawapannya, sama sekali tidak.

"Kerana itulah juga, kita dipanggil 'assabiyah' selama berpuluh-puluh tahun oleh parti tertentu. Kita dilabel parti kesukuan dan perkauman fanatik. Jadi, matikanlah segala keraguan tentang ketegasan pendirian UMNO, untuk bangsa Melayu dan Islam.

"Kesimpulannya, kita tidak akan mundur ke belakang. Kita akan terus maju ke hadapan," katanya di hadapan lebih 2,000 wakil daripada sayap parti itu.
 
Sumber : Agensi berita/AW/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita