Skip to main content

Dunia

UMNO Padang Terap lulus usul sokong Ismail Sabri terus terajui M'sia

Anggaran Waktu Membaca:
UMNO Padang Terap lulus usul sokong Ismail Sabri terus terajui M'sia

(Gambar: Agensi berita)

Diterbitkan : 16 Oct 2022 12:17PM
PADANG TERAP: UMNO Bahagian Padang Terap meluluskan usul tanpa berbelah bahagi menyokong Ismail Sabri Yaakob untuk terus menerajui kepimpinan negara sebagai Perdana Menteri.

Ketua UMNO Bahagian Padang Terap, Encik Mahdzir Khalid berkata bahawa UMNO bahagian itu turut meluluskan usul memberi kepercayaan kepada Presiden Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta kepimpinan parti untuk menyusun strategi bagi memperkukuhkan UMNO.
"Alhamdulillah, UMNO Padang Terap mencapai kata sepakat itu dengan ketetapan tersebut yang menandakan keyakinan teguh seluruh kepimpinan Bahagian Padang Terap untuk melihat UMNO terus diperkukuhkan."

“Kepimpinan dan seluruh ahli UMNO Padang Terap juga mencapai kata putus itu selaras dengan situasi semasa iaitu untuk menghadapi pilihan raya umum yang bakal menjelang tidak lama lagi", katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan.

Tambah Encik Mahdzir lagi, UMNO Bahagian itu juga meluluskan usul bertegas dalam menangkis sebarang usaha oleh mana-mana pihak yang boleh mengundang campur tangan asing dalam hal ehwal negara itu.

"UMNO Padang Terap berpandangan, walau di dalam apa jua bentuk dan alasan sekalipun, kita tidak boleh membiarkan campur tangan asing dalam urusan negara kerana kita mampu membentuk negara kita berdasarkan acuan dan hala tuju kita sendiri," kata beliau seperti dipetik oleh Astro Awani.

Selain itu, UMNO Padang Terap juga meluluskan usul memerangi sebarang bentuk penyebaran dan dakyah yang tidak bertanggungjawab serta penyalahgunaan media sosial, cetak dan elektronik sebagai medan penyebaran fitnah, propaganda dan adu domba.

Turut diluluskan, usul supaya bersiap siaga menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan penuh iltizam, cekal dan sehati sejiwa tanpa sebarang prasangka di semua peringkat kepimpinan dan ahli sama ada di peringkat pusat, negeri, bahagian dan cawangan.

"Berpaksikan kebenaran, kesungguhan serta kejujuran dalam memperjuangkan dan membela rakyat, dengan rekod keupayaan terdahulu dalam menerajui kepimpinan negara, persidangan UMNO Bahagian Padang Terap pada kali ini mengambil ketetapan menyokong penuh gandingan kepimpinan utama negara dan parti yang menjiwai denyut nadi rakyat dan suara hati parti keramat ini di bawah satu bumbung Keluarga Malaysia,” kata Encik Mahdzir lagi, lapor Astro Awani.
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita