Skip to main content

Dunia

UMNO nafi gabung dengan PH jika tidak cukup kerusi selepas PRU15

Anggaran Waktu Membaca:
UMNO nafi gabung dengan PH jika tidak cukup kerusi selepas PRU15

Naib Presiden UMNO Mahdzir Khalid (Gambar: Agensi berita)

PADANG TERAP: Naib Presiden UMNO, Mahdzir Khalid menafikan parti itu akan bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) selepas Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) sekiranya Barisan Nasional (BN) gagal mendapatkan majoriti untuk membentuk kerajaan, lapor Astro AWANI.

Menurut beliau, dakwaan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin itu hanya berasaskan andaian semata-mata, yang mahu memberi salah kepada pengundi ketika musim berkempen.

"Tan Sri Muhyiddin mungkin boleh memberi ucapan atau kenyataan itu... sebenarnya boleh memberi kesan juga kepada kami di BN ... jadi orang Melayu rata-ratanya takut dengan perkataan DAP atau pun takut dengan parti DAP.

"Jadi, bila dia buat kenyataan seumpama itu seolah-olah dia bagi satu gambaran yang BN ini nak bergabung, nak bekerjasama dengan PH. Jadi lebih baik jangan bagi undi kepada BN sebab BN nak pergi kerjasama dengan PH, di sana ada parti DAP.

"Itu memberi gambaran yang salah kepada masyarakat sebab tak pernah ada pun di mana-mana kenyataan malah dalam Perhimpunan Agung UMNO sebelum ini pun sebut 'no DAP, no Anwar'... jadi kita kita sudah ada petunjuk yang jelas, soal nak bergabung tak timbul," katanya, seperti dinukil laporan Astro AWANI.

Encik Mahdzir berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Sembang Santai Bersama Ahli Koperasi Perserta Rancangan Felcra Berhad di Pusat Komuniti, Padang Terap, pada Rabu (9 Nov).

Sebelum ini, media melaporkan Encik Muhyiddin tidak tolak kemungkinan bakal wujud kerjasama antara Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PKR,  Anwar Ibrahim pasca PRU15 bagi membentuk kerajaan.

Dakwa Encik Muhyiddin, kerjasama itu boleh membawa musibah terutama kepada masyarakat Melayu kerana Encik Anwar akan membawa sama komponen parti PH lain termasuk DAP untuk membentuk kerajaan.

Mengulas lanjut, Encik Mahdzir berkata BN secara jelas masuk ke gelanggang PRU dengan matlamat untuk mendapat majoriti dan membentuk kerajaan.

Katanya, BN tidak pernah mengadakan perbincangan mengenai perkara itu bersama PH.

"Lawan dahulu kerana pada PRU kali ini terdapat banyak gabungan parti yang bertanding antaranya PN, PH, Gerakan Tanah Air (GTA), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

"Berkempenlah secara berhemah, bawalah naratif dan optik yang betul kepada rakyat," katanya.

Ketika ditanya mengenai kedudukan atau penerimaan rakyat terhadap BN ketika ini, Encik Mahdzir yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata pihaknya yakin akan mencapai sasaran menang di banyak kawasan susulan peningkatan sokongan rakyat terhadap BN.

Sumber : Agensi berita/SU/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita