Skip to main content

Dunia

UMNO mula kajian jelang PRU16, tekad rampas semula kerusi dimenangi Bersatu, PAS: Ahmad Zahid

Anggaran Waktu Membaca:
UMNO mula kajian jelang PRU16, tekad rampas semula kerusi dimenangi Bersatu, PAS: Ahmad Zahid

Ahmad Zahid Hamidi di Perhumpunan UMNO pada 5 Julai 2025. (Gambar: BERNAMA)

BATU PAHAT: Barisan Nasional (BN) berhasrat merampas semula beberapa kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang kini dikuasai Bersatu dan PAS pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Pengerusi BN Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pelbagai kajian dan tinjauan akan dilaksanakan bagi mengenal pasti kerusi-kerusi berpotensi yang boleh dimenangi semula oleh BN, khususnya UMNO.

“Kita akan berusaha bersungguh-sungguh... kerusi itu akan kembali kepada calon UMNO pada PRU akan datang,” katanya ketika merasmikan penutupan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sri Gading hari ini (5 Jul).

Turut hadir ialah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor merangkap Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi dan Ketua UMNO Bahagian Sri Gading Mohd Lassim Burhan.

Encik Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO turut mengingatkan ahli parti agar tidak terpengaruh dengan naratif ‘UMDAP’ yang dimainkan pembangkang, sambil menjelaskan bahawa kerjasama politik yang terbentuk kini adalah antara gabungan BN dan Pakatan Harapan (PH).

“Yang berkawan ialah BN dan PH. Dalam BN ada MCA dan MIC, dalam PH ada DAP, PKR dan Amanah. Jadi, jangan terpedaya dengan propaganda pembangkang yang mahu memecahkan BN dan PH supaya mereka boleh ‘tebuk atap’ semula,” kata Encik Ahmad Zahid, yang juga Timbalan Perdana Menteri.

Encik Ahmad Zahid berkata kerjasama politik yang terjalin ketika ini adalah realiti yang perlu difahami semua ahli demi memastikan kestabilan kerajaan terjamin dan UMNO dapat kembali menjadi parti dominan.

“Kalau kita mahu menang, tunjukkan kesungguhan. Kita dalam kerajaan, maka kita perlu kerja bersungguh-sungguh. Jangan mahu menang tapi kita tidur, bergaduh sesama sendiri, tikam belakang atau berdiam diri apabila diasak lawan,” katanya.
Sumber : Bernama/IM/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita