Skip to main content

Dunia

UMNO kekal sokong Kerajaan Perpaduan sehingga PRU akan datang

Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) akan terus menyokong Kerajaan Perpaduan yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sehingga pilihan raya akan datang.

Anggaran Waktu Membaca:
UMNO kekal sokong Kerajaan Perpaduan sehingga PRU akan datang

Presiden Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang juga Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Ahmad Zahid Hamidi (tengah), bersama pemimpin-pemimpin parti lain melambai kepada pihak media selepas satu sidang media di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada 17 Januari 2026. (Gambar fail: CNA/Fadza Ishak)

Diterbitkan : 11 Jun 2026 03:18PM
KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) akan terus menyokong Kerajaan Perpaduan yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sehingga pilihan raya akan datang.

Perkara itu ditegaskan Setiausaha Agung UMNO, Asyraf Wajdi Dusuki selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang berlangsung di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), pada Rabu malam (10 Jun) di Kuala Lumpur, lapor Astro Awani.

“Ini merupakan pendirian daripada awal dan kita konsisten sehingga hari ini,” kata Dr Asyraf dalam satu sidang media selepas mesyuarat tersebut.

Mengulas mengenai perkembangan semasa, beliau berkata, Kerajaan Negeri Johor terbentuk sebelum pembentukan Kerajaan Perpaduan Malaysia dan tidak melibatkan parti-parti daripada Pakatan Harapan.

“Justeru, perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan Malaysia di peringkat Persekutuan hakikatnya tidak mengikat mana-mana Kerajaan Negeri termasuk Kerajaan Negeri Johor,” kata beliau.

Tambah Dr Asyraf, UMNO berhak menentukan pendirian dan hala tuju parti menjelang mana-mana pilihan raya termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan, lapor Astro Awani.

Jelasnya, keputusan UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk mempertahankan mandat negeri tidak boleh dianggap sebagai pengkhianatan kepada Kerajaan Persekutuan.

“Ia adalah amalan demokrasi yang sah, matang dan berperlembagaan untuk menyerahkan sepenuhnya mandat kepada rakyat,” ujar Dr Asyraf.

UMNO juga, menurut Dr Asyraf, terbuka untuk menjalin kerjasama dengan mana-mana pihak demi memastikan kestabilan politik negara serta kesejahteraan rakyat.

Menurut beliau, sebarang bentuk kerjasama politik yang ingin diwujudkan perlu berlandaskan prinsip keikhlasan dan kepercayaan.

“Apa jua bentuk kerjasama mestilah dilandaskan kepada prinsip keikhlasan dan kepercayaan,” tegas seperti yang dipetik Astro Awani.

Antara yang hadir dalam mesyuarat pada Rabu malam itu ialah Naib Presiden UMNO, Mohamed Khaled Nordin; Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO termasuk Mohamad Alamin, Shahrizat Abdul Jalil, Dr Shamsul Anuar Nasarah, Ahmad Maslan dan Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhammad Akmal Saleh.
Sumber : Agensi berita/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita