UMNO kecam hasrat Tengku Zafrul sertai PKR; dakwa ia uji kerjasama gabungan
Peletakan jawatan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia, Tengku Zafrul Abdul Aziz daripada Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim mencetuskan pelbagai reaksi daripada kedua-dua parti, sekali gus menarik perhatian kepada hubungan antara dua rakan gabungan kerajaan perpaduan itu.
(Dari kiri) Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Perdagangan Tengku Zafrul Abdul Aziz dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim. (Gambar: CNA/Fadza Ishak, CNA/Zamzahuri Abas)
Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi, tidak berselindung dalam kenyataannya pada hujung minggu lalu, apabila beliau dipetik oleh media tempatan sebagai berkata bahawa “ia adalah tidak beretika bagi mana-mana parti dalam kerajaan perpaduan untuk menerima ahli daripada parti sekutu”.
Beliau turut menegaskan UMNO harus mengekalkan kuota tujuh jawatan menteri dalam Kabinet meskipun Tengku Zafrul meninggalkan parti tersebut.
Dalam pada itu, Encik Anwar berkata pada Ahad (1 Jun) bahawa tanggungjawab kementerian yang disandang Tengku Zafrul akan “kekal tidak berubah".
“Kita mahu beliau teruskan tugasnya, terutamanya dalam portfolio pelaburan. Sumbangan beliau masih diperlukan negara,” kata Encik Anwar kepada portal berita Malay Mail semasa Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur.
Presiden PKR itu turut berkata partinya belum mengadakan sebarang perbincangan rasmi berhubung permohonan Tengku Zafrul, sambil menggesa orang ramai dan media agar tidak membuat “tafsiran melampau” terhadap keputusan menteri itu untuk keluar daripada UMNO pada Jumaat lalu.
“Ya, beliau telah memohon untuk menyertai PKR tetapi kita belum membincangkannya secara mendalam. Buat masa ini, biarkan dahulu ... Tidak perlu tafsiran berlebihan yang mungkin tidak bermanfaat,” tambah Encik Anwar, seperti yang dipetik Malay Mail.
Beliau turut memberi jaminan bahawa permohonan Tengku Zafrul akan diteliti secara adil, dengan mengambil kira pandangan akar umbi parti.
Tindakan Tengku Zafrul untuk keluar daripada UMNO diambil hanya beberapa hari selepas dua menteri Kabinet daripada PKR meletak jawatan.
Pada Rabu lalu, Menteri Ekonomi Malaysia, Rafizi Ramli mengundurkan diri daripada jawatannya menyusuli kekalahannya dalam pemilihan kepimpinan PKR kepada anak perempuan Encik Anwar, Cik Nurul Izzah.
Beberapa jam kemudian, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Nik Nazmi Nik Ahmad, yang dilihat sebagai sekutu Encik Rafizi, turut berbuat demikian.
Mengesahkan peletakan jawatan Tengku Zafrul daripada UMNO, Encik Zahid pada Sabtu lalu berkata ini bermakna jumlah menteri daripada parti tersebut kini berkurangan kepada enam orang, sambil menambah ia “adalah wajar” untuk UMNO meminta semula jawatan menteri tersebut dikembalikan kepada parti itu.
“Bagi saya, yang lebih penting ialah UMNO kekal diwakili oleh tujuh menteri penuh dalam Kabinet. Walaupun kita tidak pasti sama ada pelantikan Tengku Zafrul adalah di bawah panji UMNO, kita menganggap beliau mewakili parti,” kata Encik Zahid seperti yang dipetik Malay Mail dalam satu acara yang berlangsung di Sarawak.
Encik Zahid turut mengatakan bahawa meskipun Tengku Zafrul mendakwa telah menjadi ahli UMNO sejak 1997, beliau tidak pernah menyatakan bahawa beliau mewakili UMNO ketika dilantik ke dalam Kabinet pada 2023, menurut The Star.
Dengan keluarnya Tengku Zafrul daripada UMNO, parti itu kini diwakili enam menteri Kabinet — Encik Zahid sendiri, Encik Mohamad Hasan, Encik Johari Ghani, Encik Khaled Nordin, Encik Zambry Abdul Kadir dan Cik Azalina Othman Said.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.