Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

UMNO, BN setia bersama Najib di waktu susah dan senang, tegas Ahmad Zahid

Anggaran Waktu Membaca:
UMNO, BN setia bersama Najib di waktu susah dan senang, tegas Ahmad Zahid

(Gambar fail: BERNAMA)

Diterbitkan : 17 Aug 2022 05:21PM Dikemas Kini : 17 Aug 2022 05:21PM

KUALA LUMPUR: Keputusan Mahkamah Persekutuan menolak permohonan mantan Perdana Menteri Malaysia Najib Razak untuk mengemukakan keterangan baru dalam rayuan terakhirnya adalah keputusan mahkamah, kata Presiden Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) Ahmad Zahid Hamidi.

Menerusi catatan terbaru di Facebooknya, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, semua pihak perlu menghormati serta mengambil tindakan yang boleh disifatkan sebagai menghina mahkamah.

Namun sebagai rakyat, ahli, dan pemimpin parti UMNO, beliau berkata, keputusan tersebut tidak menghalang mereka untuk terus bersama perjuangan Encik Najib dalam parti dan kes yang sedang dibicarakan.

“Memang keadilan itu suatu perjalanan yang panjang. Malah terdapat ungkapan bahawa terdapat tiga jenis kebenaran - kebenaran saya, kebenaran anda dan kebenaranNya. Kebenaran yang betul adalah kata-kata Tuhan. 

“Marilah kita terus bersatu hati, bersolidariti bersama Najib Tun Razak. Jangan putus asa. Terus tabah dan terus berjuanglah bersama kita. Terlalu banyak jasa dan sumbangan beliau telah berikan untuk UMNO, Barisan Nasional (BN), dan kerajaan BN yang tak akan dapat dilupuskan dalam sejarah negara,” katanya, seperti dipetik Astro AWANI. 

Mengulas lanjut, Dr Ahmad Zahid berkata, ketika Pakatan Harapan memerintah 22 bulan, Encik Najib berjaya menangkis serangan terhadap UMNO ketika parti itu diperlekehkan dan cuba dikuburkan oleh musuh politik.

Di platform media sosial Facebook, kata Dr Ahmad Zahid, mantan Perdana Menteri itu berjaya menjawab serangan pembangkang dan musuh dalam selimut dengan data dan fakta.

Bahkan ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Melaka dan Johor, Dr Ahmad Zahid berkata, Encik Najib turut berkampung dan berkempen membantu kemenangan UMNO, BN.

“Perlu diakui akaun media sosial Facebook Najib sangat berpengaruh di negara ini. Beliau ialah Raja Media Sosial dan berjaya membantu memulihkan UMNO lebih cepat, hingga mereka yang pernah menjauhi dan memperlekeh UMNO (yang) sebelum ini dilihat, bukan sahaja mahu mendekati, malah mahu menguasai UMNO pula sekarang.

“Insya-Allah kita di setiap akar umbi cawangan dan bahagian UMNO dan BN akan terus bersama Najib Razak dan susah senang bersama. Kita bukan kacang lupakan kulit. Itulah persahabatan dan perjuangan sejati kita dalam UMNO,” tegas Dr Ahmad Zahid, seperti dinukil Astro AWANI.

Sumber : Agensi berita/NY/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa