Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

UMNO belum putuskan bila pemilihan kepimpinan diadakan

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAMediacorp: Parti politik terbesar Malaysia, UMNO, masih belum memutuskan bilakah pemilihan kepimpinan parti akan diadakan.

Perhimpunan Agung UMNO bagaimanapun akan diadakan minggu depan setelah ditangguh dari Disember tahun lalu.

Dalam pada itu Mesyuarat bulanan Majlis Tertinggi UMNO berlangsung pada Khamis (5 Jan), di tengah-tengah spekulasi bahawa presiden parti Ahmad Zahid Hamidi mungkin disingkirkan.

Sebelum ini desas-desus bertiup kencang kemungkinan muncul usul dalam Perhimpunan Agung UMNO supaya dua jawatan tertinggi parti itu tidak dipertandingkan.

Bagaimanapun semalam (5 Jan) Ketua Penerangan UMNO Isham Jalil menekankan, UMNO tidak akan meminda perlembagaannya bagi membolehkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertanding pada pemilihan parti.

AHMAD ZAHID SEDIA DICABAR JAWATAN PRESIDEN UMNO

Gesaan supaya Encik Ahmad Zahid meletak jawatan semakin lantang selepas Barisan Nasional (BN) kalah teruk semasa Pilihan Raya Umum Malaysia ke-15 .

Di luar satu acara semalam, Encik Ahmad Zahid berkata kepada pihak media bahawa beliau terbuka untuk dicabar oleh sesiapa sahaja yang berhasrat untuk memegang jawatan nombor satu UMNO.

Pada pemilihan 2018, beliau diangkat menjadi Presiden UMNO selepas mengalahkan pemimpin veteran Tengku Razaleigh Hamzah dan mantan Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin.

"Kuasa untuk menentukan kepimpinan terletak kepada kuasa dan suara perwakilan di seluruh negara.

Terdapat hampir 160,000 perwakilan yang mewakili cawangan-cawangan untuk menentukan sama ada kepimpinan yang sedia ada ataupun kepimipinan yang berubah untuk kita pastikan bahawa UMNO dan Barisan Nasional terus relevan," ujar beliau.

PERKEMBANGAN UMNO PERLU DIBERI PERHATIAN

Pengurus Kanan Penyelidikan badan pemikir IDEAS Malaysia Cik Aida Azhari berkata pemilihan kepimpinan UMNO perlu diperhatikan kerana sebarang perubahan kepimpinan berpotensi mengubah juga kestabilan kerajaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata kepada Mediacorp: "Kita semua tahu Ahmad Zahid dan Anwar Ibrahim adalah rakan sejak mereka berdua dalam UMNO. Jika ada perubahan pemimpin dalam UMNO, presiden baru itu mungkin tidak ada hubungan serupa dengan Anwar. Jadi ini adalah antara persoalan besar.

"Jika UMNO menarik balik sokongan 30 Ahli Parlimen terhadap kerajaan perpaduan, kerajaan Malaysia akan tumbang. Jadi ini adalah satu masalah besar."

Pun begitu Cik Aira percaya meski ada perpecahan dalam UMNO, ada kesefahaman bahawa Malaysia memerlukan kestabilan politik dek cabaran sejagat 2023.

Lantaran itu, beliau menyuarakan harapan jika benar akan ada perubahan kepimpinan dalam UMNO, sokongan terhadap PM Anwar Ibrahim dan kerajaan perpaduan dapat diteruskan.
Sumber : BERITA Mediacorp/RU/fa

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan