Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Umat Islam M'sia manfaat peluang semak arah kiblat susuli fenomena Istiwa’ A’dzam

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Umat Islam di seluruh Malaysia memanfaatkan peluang untuk menyemak ketepatan arah kiblat di lokasi masing-masing berikutan fenomena Istiwa’ A’dzam pada pukul 5.18 petang Ahad (28 Mei).

Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam (Unit Falak) Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Muhammad Saidul Marjuni, berkata Istiwa’ A’dzam adalah fenomena yang berlaku dua kali setahun apabila kedudukan matahari berada tepat di atas Kaabah di Makkah, yang menjadi kiblat umat Islam ketika mendirikan solat.

Tahun ini, menurut beliau, ia berlaku pada 28 Mei (5.18 petang) dan 16 Julai (5.26 petang).

“Bayang yang dihasilkan oleh matahari pada ketika itu (masa yang ditetapkan pada kedua-dua tarikh tersebut), betul-betul tepat menghala ke arah kiblat."

“Kami sarankan umat Islam supaya memastikan ketepatan arah kiblat di rumah masing-masing agar kita dapat beribadah dengan lebih tepat dan sempurna,” katanya kepada wartawan selepas menunjukkan kaedah menyemak arah kiblat kepada pengunjung Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di Pusat Dagangan Dunia di Kuala Lumpur pada Ahad.

Encik Muhammad Saidul menerangkan kepada pengunjung di acara itu bagaimana arah kiblat boleh ditentukan berdasarkan arah bayang dengan menggunakan beberapa objek yang lazimnya mudah didapati di rumah seperti benang, kertas dan batang penyapu atau apa-apa objek tegak.

Di Pulau Pinang, Jabatan Mufti negeri mengeluarkan surat pekeliling kepada semua masjid untuk membuat semakan arah kiblat sempena fenomena Istiwa’ A’dzam berikutan keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri.

Penolong Mufti Kanan (Falak) Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang, Muhammad Haniff Baderun, berkata sebanyak 33 masjid sudah membuat semakan dan masih terdapat lebih 174 masjid yang perlu melakukan semakan semula arah kiblat pada Ahad, terutama masjid yang dibina sebelum tahun 1990-an.

Di Sabah, cuaca cerah di kebanyakan tempat pada petang Ahad membolehkan orang ramai di negeri di bawah bayu itu membuat semakan arah kiblat di rumah masing-masing.

Di Sarawak, cuaca terik di sekitar Bintulu yang terletak di wilayah tengah negeri itu, memberi peluang kepada orang ramai menyaksikan fenomena Istiwa’ A’dzam di Pusat Falak Bintulu.

Sementara itu, keadaan cuaca yang tidak mengizinkan di beberapa negeri menyukarkan usaha untuk menyemak semula arah kiblat.

Di Kelantan misalnya, usaha beberapa jemaah dari Masjid Haji Mohamad Nor, Blok Pasir Puteh, Mengkebang, di Kuala Krai tidak berhasil apabila cuaca mendung menyebabkan tiada bayang kelihatan di kawasan lapang berhampiran masjid tersebut.

Di Johor pula, cuaca mendung dan berawan menyebabkan bayang yang digunakan bagi menentukan arah kiblat tidak kelihatan jelas.

Ahli Kelab Astronomi Johor Azfanizam Abdul Aziz, 41 tahun, berkata meskipun bayang hanya kelihatan sedikit tepat 5.18 petang semalam, namun ia tetap boleh digunakan sebagai panduan arah kiblat dengan menggunakan peralatan mudah iaitu objek tegak seperti sebatang pensel.
Sumber : Bernama/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan