Umat Islam Indonesia sambut Aidilfitri pada 31 Mac; Malaysia akan isytihar pada 30 Mac tarikh Raya
Menteri Agama Nasaruddin Umar. (Gambar: Bernama)
JAKARTA: Umat Islam di Indonesia akan menyambut Aidilfitri pada Isnin (31 Mac), kata Menteri Agama Nasaruddin Umar pada Sabtu (29 Mac).
Dalam satu sidang media di kementeriannya, beliau mengumumkan tarikh 1 Syawal 1446 Hijrah bersamaan 31 Mac, 2025.
Pengumuman itu dibuat setelah selesainya persidangan Isbat (persidangan penentuan tarikh Syawal), yang melibatkan antaranya pegawai kementerian, Majlis Ulama Indonesia, ahli falak, anggota Dewan Perwakilan Rakyat Indonesia, serta wakil-wakil dari kedutaan di Indonesia.
Turut hadir Atase Agama di Kedutaan Besar Malaysia, Mohd Shamsuri Ghazali.
"Pada malam ini untuk seluruh wilayah Indonesia masih melakukan solat tarawih. Kita berharap hasil daripada sidang ini seluruh umat Islam di Indonesia dapat merayakan Aidilfitri dengan sukacita," katanya.
Umat Islam di Indonesia mula berpuasa sejak 1 Mac.
Indonesia adalah negara dengan majoriti Muslim terbesar di dunia, dengan 87 peratus daripada lebih 282 juta penduduk beragama Islam.
Di Malaysia, pengisytiharan rasmi tarikh Hari Raya Aidilfitri bagi tahun ini akan dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja selaku pihak berkuasa yang diamanahkan oleh Majlis Raja-Raja pada pukul 8.00 malam pada Ahad (30 Mac).
Penetapan tarikh Hari Raya Aidilfitri tertakluk kepada hasil aktiviti cerapan anak bulan di 29 lokasi cerapan rasmi serata Malaysia.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.