Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Umat Islam diingatkan jangan salah guna visa umrah, pelancongan untuk tunai haji

Anggaran Waktu Membaca:
Umat Islam diingatkan jangan salah guna visa umrah, pelancongan untuk tunai haji

(Gambar: Abdel Ghani Bashir/AFP)

PUTRAJAYA: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Malaysia mengingatkan umat Islam, terutama bakal jemaah umrah setempat, supaya tidak menyalahgunakan kemudahan visa pelancong dan visa umrah bagi tujuan menunaikan ibadah haji.

MOTAC, dalam kenyataannya pada Sabtu (13 Mei), memaklumkan peringatan tersebut diuar-uarkan bagi memastikan tiada jemaah umrah yang mengambil kesempatan untuk tinggal lebih masa sehingga masuk ke musim haji. 

Sebagai sebuah kementerian yang bertanggungjawab mengeluarkan lesen kepada agensi pelancongan dalam bidang umrah dan seterusnya mengawal selia aktiviti berkaitan, MOTAC turut mengingatkan syarikat pengendali umrah dan jemaah supaya menyelesaikan ibadah umrah sebelum sesi musim haji bermula selain akur dengan peraturan semasa yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi.

Musim haji dijangka bermula minggu ketiga Jun tahun ini.

“MOTAC memandang serius berhubung perkara tersebut (salah guna) kerana ia melibatkan kepentingan dan keselamatan jemaah umrah serta berusaha menghalang berlakunya perkara-perkara yang tidak diingini selain daripada menjaga hubungan baik yang telah terjalin antara kerajaan Malaysia dengan Arab Saudi,” menurut kenyataan itu.

Kementerian itu memaklumkan perkara tersebut satu kesalahan di bawah peraturan Kerajaan Arab Saudi iaitu menunaikan ibadah haji tanpa mempunyai permit yang sah. Ia menekankan kerajaan negara itu hanya mengiktiraf permit haji yang dikeluarkan oleh institusi bertauliah bagi setiap negara, seperti Lembaga Tabung Haji (TH).

Menurut MOTAC, tindakan sewajarnya akan diambil jika terbukti ia melibatkan syarikat pengendali umrah yang dilesenkan oleh kementerian itu. Kementerian tersebut turut menyeru rakyat Malaysia yang melancong dan mengerjakan umrah agar sentiasa menjaga nama baik negara semasa berada di luar negara.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan