Skip to main content

Dunia

Umat Islam di Malaysia, Indonesia mula berpuasa pada 19 Feb

Umat Islam di Malaysia akan mula berpuasa pada Khamis, iaitu 19 Februari 2026.
Anggaran Waktu Membaca:
Umat Islam di Malaysia, Indonesia mula berpuasa pada 19 Feb
Menurut kenyataan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja sebelum ini, jawatankuasa-jawatankuasa yang berkenaan telah diperkenankan melihat anak bulan Ramadan di 29 lokasi di seluruh negara. (Gambar: BERNAMA)
Diterbitkan : 17 Feb 2026 09:24PM Dikemas Kini : 17 Feb 2026 09:27PM
KUALA LUMPUR: Umat Islam di Malaysia akan mula berpuasa pada Khamis, iaitu 19 Februari 2026.

Tarikh tersebut diumumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Syed Danial Syed Ahmad pada Selasa (17 Feb).

Beliau berkata, tarikh itu ditetapkan bagi negeri-negeri di seluruh negara mengikut perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.

Syed Danial mengumumkan tarikh penting itu secara langsung menerusi siaran Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada Selasa malam, seperti dinukil Astro Awani.

Menurut kenyataan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja sebelum ini, jawatankuasa-jawatankuasa yang berkenaan diperkenankan melihat anak bulan Ramadan di 29 lokasi di seluruh negara antaranya di Baitul Hilal Bangunan Sultan Ismail, Pontian, Johor dan Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara di Melaka, menurut laporan Astro Awani.

Turut menjadi tempat cerapan anak bulan ialah Kompleks Baitul Hilal Telok Kemang, Port Dickson di Negeri Sembilan, serta Bukit Melawati, Kuala Selangor, Bukit Jugra, Banting, Kuala Langat dan Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam di Selangor.

Di Perak, lokasinya di Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Baru di Manjung, Pulau Pinang (Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh) serta Kedah (Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda, Pemandangan Indah, Pulau Langkawi dan Menara Alor Setar).

Lokasi lain ialah di Bukit Besar, Kuala Terengganu, Bukit Geliga, Kemaman, Pulau Perhentian, Besut, Balai Cerap Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA), Mukim Merang, Setiu di Terengganu, serta Bukit Peraksi, Pasir Puteh, Bukit Kampong Tembeling, Mukim Manjur, Daerah Olak Jeram, Kuala Krai dan Menara Bangunan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (SEDC), Jalan Tengku Putra Semerak, Kota Bharu di Kelantan, seperti dinukil Astro Awani.

Selain itu, Pusat Falak Miri, Teluk Bandung, Kuching dan Bintulu di Sarawak, Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil, Putatan di Sabah dan di Pahang melibatkan Bukit Tanjong Batu, Nenasi, Gunung Berincang, Cameron Highlands serta Menara Kuantan 188 juga menjadi lokasi melihat anak bulan.

Turut terlibat adalah di Menara Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan, Menara Kuala Lumpur, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya dan Menara Pandang, Masjid Al-Hussain, Kuala Perlis.

Sementara itu, umat Islam di Indonesia juga mula berpuasa pada Khamis ini (19 Feb).

Kementerian Agama Indonesia (Kemenag) menyampaikan demikian berdasarkan perhitungan astronomi, posisi hilal di seluruh wilayah Indonesia pada Selasa 17 Februari 2026 belum memenuhi kriteria keterlihatan hilal yang disepakati negara-negara anggota MABIMS (Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia, Singapura).

"Sehingga tanggal 1 Ramadhan 1447 Hijriah secara hisab jatuh bertepatan dengan hari Khamis Pahing tanggal 19 Februari 2026," kata Anggota Tim Hisab Rukyat Kemenag Cecep Nurwendaya di Jakarta pada Selasa.

Sidang Isbat diadakan di Hotel Borobudur, Jakarta, pada Selasa, untuk menetapkan secara rasmi awal Ramadan.
Sumber : Bernama//ANTARA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita