Skip to main content

Dunia

Umat Islam di Malaysia, Brunei, Thailand, Filipina, Kemboja mula berpuasa pada 2 Mac

Anggaran Waktu Membaca:
Umat Islam di Malaysia, Brunei, Thailand, Filipina, Kemboja mula berpuasa pada 2 Mac

Ahli Jawatankuasa Hilal Ramadan Wilayah Persekutuan melakukan cerapan bagi melihat anak bulan untuk menetapkan tarikh permulaan puasa bagi 1446 Hijrah di Majlis Cerapan Rasmi Hilal Ramadan di Menara Kuala Lumpur. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 01 Mar 2025 09:45AM Dikemas Kini : 01 Mar 2025 01:48PM
KUALA LUMPUR: Umat Islam di Malaysia mula berpuasa pada Ahad (2 Mac).

Demikian diumumkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Syed Danial Syed Ahmad.

Encik Syed Danial berkata, tarikh permulaan puasa bagi negeri-negeri di seluruh Malaysia ditetapkan menurut perintah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.

Pengumuman itu disiarkan secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada Jumaat malam (28 Feb), dipetik daripada BH Online.

Pada 20 Februari lalu, Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja menerusi satu kenyataan menetapkan hari Jumaat bersamaan 29 Syaaban 1446 Hijrah untuk melihat anak bulan Ramadan bagi menentukan permulaan puasa buat umat Islam di Malaysia.

Menurut kenyataan itu lagi, jawatankuasa-jawatankuasa yang berkenaan sudah diperkenankan untuk melihat anak bulan Ramadan pada petang hari berkenaan di 29 lokasi di seluruh negara, lapor BH Online.

Lokasi terbabit termasuk di Pontian Kecil, Johor, dan Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara di Melaka, Kompleks Baitul Hilal Telok Kemang, Port Dickson di Negeri Sembilan, serta Bukit Melawati, Kuala Selangor; Bukit Jugra, Banting, Kuala Langat; dan Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam di Selangor.

Seterusnya, Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Baru di Manjung, Perak; Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh di Pulau Pinang; serta Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda; Pemandangan Indah, Pulau Langkawi; dan Menara Alor Setar, Alor Setar di Kedah.

Brunei Darussalam pula secara rasmi akan menyambut bulan Ramadan pada Ahad (2 Mac).

Pengumuman tersebut dibuat di RTB Brunei setelah bulan sabit tidak dilihat di lima lokasi yang telah dipilih bagi penampakan anak bulan di seluruh negara itu.

Sementara itu, Ketua Sheikhul Islam Thailand, Arun Boonchom juga mengumumkan umat Islam di negara itu akan mula berpuasa pada Ahad (2 Mac) selepas tiada anak bulan Ramadan kelihatan semasa proses pencerapan di beberapa lokasi di wilayah selatan, selepas matahari terbenam pada Jumaat.

Encik Arun membuat pengumuman tersebut di Pusat Pentadbiran Hal Ehwal Islam Kebangsaan Chalermprakiart di wilayah Samut Prakan yang turut disiarkan secara langsung di stesen televisyen dan radio, menurut Bernama.

Sehubungan itu, Majlis Tertinggi Hal Ehwal Agama Islam Kemboja mengumumkan pada petang Jumaat bahawa umat Islam di negara tersebut akan mula berpuasa pada Ahad, dipetik daripada Bernama.

Sekitar 300,000 umat Islam akan menyambut bulan Ramadan di negara yang majoritinya beragama Buddha.

Suruhanjaya Kebangsaan Muslim Filipina secara rasminya mengumumkan bahawa bulan Ramadan akan bermula pada Ahad, memandangkan tiada anak bulan disahkan kelihatan.
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita