Skip to main content

Dunia

Umat Islam di Arab Saudi, India, UAE dan Pakistan akan lihat anak bulan Ramadan bersama-sama

Buat pertama kalinya dalam masa beberapa tahun, sebahagian besar dunia Islam akan menyaksikan anak bulan Ramadan pada malam yang sama.

Anggaran Waktu Membaca:
Umat Islam di Arab Saudi, India, UAE dan Pakistan akan lihat anak bulan Ramadan bersama-sama

Tahun ini merupakan tahun yang luar biasa. Umat Islam seluruh dunia akan dapat melihat anak bulan Ramadan pada masa yang sama.(Gambar fail: Bernama)

Diterbitkan : 26 Feb 2025 03:08PM
NEW DELHI: Buat pertama kalinya dalam masa beberapa tahun, sebahagian besar dunia Islam akan menyaksikan anak bulan Ramadan pada malam yang sama. Ini juga bermakna terdapat kemungkinan kebanyakan umat Islam mula berpuasa pada hari yang sama. Inilah sebabnya:

Secara kebetulan, umat Islam di India, Pakistan, Bangladesh, Sri Lanka, Afghanistan, Amerika Syarikat, Britain, Australia, New Zealand, Rusia, Indonesia, Malaysia, Perancis, Jerman dan negara-negara lain di Asia Selatan serta Barat menyambut bulan Syaaban 1446H serentak dengan umat Islam di Arab Saudi, UAE, Qatar, Kuwait, Jordan, Bahrain, Palestin, Oman, Iraq, Syria, Yaman, Turki, Mesir dan negara-negara Arab lain, lapor Hindustan Times.

Kebiasaannya, anak bulan mula dilihat di Arab Saudi, UAE dan beberapa negara Barat terlebih dahulu, manakala negara-negara Asia Selatan seperti India, Pakistan, Bangladesh dan Sri Lanka akan melihatnya sehari kemudian.

KEAJAIBAN RAMADAN YANG JARANG BERLAKU

Pemerintah Arab Saudi bersama Jawatankuasa Cerapan Anak Bulan di UAE, Qatar, India, Pakistan, AS, UK, Afghanistan, Nepal, Oman, Iraq, Syria, Bahrain, Yaman, Turki, Mesir, Australia, New Zealand, Rusia, Indonesia, Malaysia, Perancis, Jerman dan negara-negara lain sudah secara rasmi meminta umat Islam di negara masing-masing untuk mencerap anak bulan Ramadan pada Jumaat petang (28 Feb) bersamaan 29 Syaaban 1446H dalam kalendar Islam.

Walaupun Jawatankuasa Cerapan Anak Bulan Arab Saudi kebiasaannya melakukan pemerhatian beberapa hari sebelum tarikh permulaan Ramadan dijangkakan, umat Islam di negara itu digalakkan untuk turut serta melihat anak bulan sama ada dengan menggunakan teropong atau mata kasar.

Hindustan Times juga melaporkan bahawa ahli astronomi dari Pusat Astronomi Antarabangsa di Abu Dhabi, anak bulan Ramadan (yang menandakan permulaan bulan puasa) dijangka dapat dilihat pada Jumaat petang.

Jika anak bulan Ramadan kelihatan pada Jumaat petang, solat terawih akan dimulakan malam itu dan umat Islam akan berpuasa pada hari Sabtu. Jika anak bulan Ramadan tidak kelihatan pada Jumaat petang selepas Maghrib, bulan suci tersebut akan bermula pada hari Ahad, 2 Mac 2025.

Di Singapura, umat Islam tempatan akan mula berpuasa pada 2 Mac 2025.

Tanpa mengira perbezaan tersebut, ketibaan Ramadan tetap merupakan pengalaman universal yang penuh dengan kerohanian, muhasabah diri, dan kebersamaan.
Sumber : Agensi berita/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita