Umat Islam Bangkok sambut 1 Syawal dalam suasana suram susuli gempa
Umat Islam di Thailand khususnya Bangkok menyambut Aidilfitri dalam suasana suram ekoran gempa bumi kuat melanda Myanmar pada Jumaat lalu, yang turut menggegarkan ibu negara Thailand, mengorbankan sekurang-kurangnya 17 nyawa dan puluhan lagi masih dilaporkan hilang.

Umat Islam di Thailand khususnya Bangkok menyambut Aidilfitri dalam suasana suram ekoran gempa bumi kuat yang melanda Myanmar pada 28 Mac 2025. (Gambar: Bernama)
Masyarakat Islam di Bangkok berada dalam keadaan berjaga-jaga dan penuh kebimbangan menghadapi gegaran susulan yang masih dirasai.
Ketika umat Islam di seluruh dunia meraikan Syawal dengan kegembiraan, mereka di Bangkok menyambutnya dengan perasaan yang bercampur baur, diwarnai ketidakpastian akibat bencana alam itu.
Wakil Sheikhul Islam Thailand, Korsem Mankhong, 71 tahun, berkata ramai penduduk di Bangkok masih khuatir dengan kemungkinan gegaran susulan.
"Kami mendoakan agar Allah melindungi semua penduduk," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Masjid Zhohirul Islam Thonglor, Sukhumvit, pada Isnin (31 Mac).
Meskipun hujan lebat turun pada pagi 1 Syawal, ia tidak menghalang umat Islam di Bangkok daripada menunaikan solat sunat Aidilfitri.
Kira-kira 200 jemaah hadir di Masjid Zhohirul Islam Thonglor, dengan solat dipimpin oleh Imam Ruslan Pontongdee.
Seorang jemaah, Aisha Vasinee Klinnest, 35 tahun, berkata dia sering hadir di masjid itu untuk menunaikan solat Aidilfitri, tetapi ruang yang terhad menyebabkan ramai memilih untuk beribadah di masjid lain.
"Saya amat bersimpati dengan mangsa-mangsa bencana dan sentiasa mendoakan agar penderitaan mereka segera berakhir.
"Islam mengajar kita untuk membantu mereka yang memerlukan. Oleh itu, sebagai umat Islam, kami sentiasa bersedia memberikan bantuan, dan doa kami adalah agar keadaan kembali pulih seperti sediakala," katanya.
Sementara itu, Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra dalam perutusannya pada Ahad (30 Mac), mengucapkan selamat menyambut Aidilfitri kepada semua umat Islam di dalam dan luar negara.
Beliau berkata bahawa Aidilfitri bukan sahaja menandakan berakhirnya ibadah puasa Ramadan tetapi juga mengingatkan tentang nilai-nilai kebaikan, kasih sayang dan keharmonian dalam masyarakat.
Amalan seperti bersedekah, memaafkan, menunjukkan belas kasihan, serta mengikuti ajaran Islam yang penuh kasih sayang akan membawa kehidupan yang lebih bahagia, sejahtera dan ketenangan jiwa, katanya.
Thailand dianggarkan mempunyai kira-kira 10 juta penduduk beragama Islam, yang terus memainkan peranan penting dalam membentuk masyarakat yang harmoni dan berbilang budaya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.